Connect with us

Terkini

Ahli Parlimen PKR gesa kerajaan haramkan vape, Usah utamakan keuntungan jangka pendek

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran
  • Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran berkata pengharaman sepenuhnya penjualan dan pengedaran vape di seluruh negara amat penting untuk membendung ‘wabak vape’ yang kian menular, mengancam kesihatan generasi muda dan membebankan sistem penjagaan kesihatan awam.
  • “Kementerian Kesihatan menganggarkan kos merawat seorang pesakit dengan kecederaan paru-paru akibat vape (EVALI) boleh mencecah RM150,000. Malah, sekiranya tiada langkah kawalan berkesan diambil, perbelanjaan rawatan penyakit berkaitan vape dijangka meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030.
  • “Angka ini menghampiri hasil cukai vape — RM500 juta setahun yang diunjurkan kerajaan, sekali gus menunjukkan bahawa sebarang manfaat ekonomi daripada industri vape sama sekali tidak setimpal dengan kos kesihatan yang terpaksa ditanggung kerajaan,” katanya.

KUALA LUMPUR — Seorang Ahli Parlimen PKR menggesa kerajaan supaya tidak mengutamakan keuntungan cukai jangka pendek sehingga mengatasi kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, R. Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat menekankan perlunya keutamaan diberikan kepada masa depan generasi akan datang dengan melaksanakan larangan vape secara menyeluruh demi memastikan rakyat Malaysia lebih sihat dan bebas ancaman bahaya vape.

Beliau berkata pengharaman sepenuhnya penjualan dan pengedaran vape di seluruh negara amat penting untuk membendung ‘wabak vape’ yang kian menular, mengancam kesihatan generasi muda dan membebankan sistem penjagaan kesihatan awam.

“Fenomena vape ini turut memberi impak besar kepada sistem kesihatan awam negara — Kos rawatan bagi penyakit berkaitan vape adalah amat tinggi dan bakal membebankan pembayar cukai.

“Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa kos untuk merawat seorang pesakit dengan kecederaan paru-paru akibat vape (EVALI) boleh mencecah RM150,000. Malah, sekiranya tiada langkah kawalan berkesan diambil, perbelanjaan rawatan penyakit berkaitan vape dijangka meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030.

“Angka ini menghampiri hasil cukai vape — RM500 juta setahun yang diunjurkan kerajaan, sekali gus menunjukkan bahawa sebarang manfaat ekonomi daripada industri vape sama sekali tidak setimpal dengan kos kesihatan yang terpaksa ditanggung kerajaan.

“Sektor kesihatan awam berpotensi menanggung kerugian ratusan juta ringgit untuk merawat komplikasi akibat vape dana yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk keperluan kesihatan lain yang lebih mendesak,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Foto: Antara tangkap layar kenyataan R. Yuneswaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Yuneswaran berkata beberapa kerajaan negeri seperti Johor, Kedah dan Terengganu telah pun mengambil langkah berani dengan tidak memperbaharui lesen premis penjualan vape, sekali gus melarang penjualan vape di negeri-negeri tersebut.

Jelasnya, langkah drastik itu menunjukkan kesungguhan negeri-negeri berkenaan melindungi rakyat mereka daripada bahaya vape, terutamanya generasi muda.

“Namun, usaha sebegini perlu diperluaskan ke peringkat nasional supaya perlindungan kesihatan awam adalah menyeluruh dan tidak terhad mengikut sempadan negeri semata-mata,” katanya. — The Merdeka Times

Author