Terkini
Umat Islam berpecah kerana tidak ikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah – JAKIM
Islam amat menitikberatkan perpaduan sesama umat bahkan ianya adalah agama yang menentang segala perkara yang membawa kepada perpecahan.

- Islam menitikberatkan perpaduan sesama umat Islam bahkan agamanya menentang perkara yang membawa kepada perpecahan.
- JAKIM berkata umat Islam berpecah kerana mengambil sebahagian sahaja ajaran agama dan meninggalkan sebahagian yang lain.
- Perpecahan umat islam ketara terutama melalui media sosial apabila segelintir individu mencipta akaun palsu meninggalkan komen melaga-laga, menghentam, mengutuk, menyakitkan hati terhadap orang lain.
- Menurut teks khutbah, Jakim menegaskan, Islam sentiasa menyeru umatnya agar jujur dan ikhlas, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.
BANGI, 28 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Islam amat menitikberatkan perpaduan sesama umat bahkan ianya adalah agama yang menentang segala perkara yang membawa kepada perpecahan.
Bagaimanapun, realitinya umat Islam hari ini dilihat masih bertelagah dan berbalah bukan sahaja dalam negara malah di seluruh dunia.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi khutbah Jumaat berkata, antara sebab utama umat Islam berpecah adalah kerana tidak mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Selain itu, katanya, sebab berlakunya perpecahan adalah kerana umat Islam mengambil sebahagian sahaja daripada ajaran agama dan meninggalkan sebahagian yang lain; masih berada dalam kejahilan serta tidak menjadikan Rasulullah sebagai pemimpin yang wajib diikuti dan ditaati.
“Perpecahan antara orang Islam dilihat begitu ketara sekali. Perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka berlaku terutamanya dalam media sosial.
“Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan.
“Ianya bertambah buruk apabila terdapat segelintir individu yang sanggup mencipta akaun palsu dengan meninggalkan komen melaga-laga, menghentam, mengutuk, menyakitkan hati terhadap orang lain,” katanya.
Menurut teks khutbah, Jakim menegaskan, Islam sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain.
“Nilai-nilai mulia seperti ini hendaklah dihayati kerana umat Islam diumpamakan seperti anggota tubuh yang saling memerlukan antara sesama anggota badan yang lain,” katanya.
Sumber : Ismaweb
