Connect with us

Terkini

Ridhuan Tee sah diganti, Forum Perdana Ehwal Islam tidak batal

Rancangan bual bicara keagamaan popular, Forum Perdana Ehwal Islam tidak dibatalkan malah masih bersiaran seperti biasa selepas slot Berita Perdana di TV1.

Wartawan TMT

Published

on

Ridhuan Tee sah diganti, Forum Perdana Ehwal Islam tidak batal
Foto: Firdaus Wong Wai Hung, Ridhuan Tee
  • Ridhuan Tee Abdullah diganti dengan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.
  • Pendakwah, Firdaus Wong Wai Fung menerusi laman sosialnya berkata Ridhuan sendiri mengesahkan kepada beliau namanya dikeluarkan dan diganti dengan ahli panel lain.
  • Warganet tempatan sedih setelah tular tangkapan layar perbualan ringkas oleh Ridhuan, “Forum Perdana dibatalkan. Baru dapat notis daripada pihak RTM. Saya tidak dibenarkan keluar atas arahan menteri.” 

 

PUTRAJAYA: Rancangan bual bicara keagamaan popular, Forum Perdana Ehwal Islam tidak dibatalkan malah masih bersiaran seperti biasa selepas slot Berita Perdana di TV1.

Bagaimanapun, salah seorang anggota panel program bicarawara tersebut, Dr. Ridhuan Tee Abdullah telah pun digantikan dengan pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman.

Perkembangan berkenaan sekali gus menafikan dakwaan yang tular sejak semalam lagi konon rancangan tersebut pada malam ini terpaksa dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

 

Perkara itu turut disahkan pendakwah mualaf ternama, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman sosial rasminya yang menjelaskan mengenai program berkenaan tetap diteruskan.

“Ridhuan sendiri mengesahkan kepada saya bahawa namanya memang dikeluarkan daripada rancangan ini dan sudah diganti dengan ahli panel yang lain pula,” nukil beliau.

Forum itu yang ke udara pada 9 malam tadi turut membariskan seorang lagi panel, Datuk Mohd. Kazim Elias dengan dua moderator terkenal, Ustaz Nabil Ahmad dan Rizal Ramli.

Ia disiarkan secara langsung dari Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya, Selangor dengan ditaja oleh Bank Islam Malaysia Berhad.

Rancangan mingguan ini yang mula bersiaran sejak awal 1980-an lalu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut digemari umat Islam di negara-negara jiran.

Untuk kali ini, program tersebut membawa tajuk Seluas Angkasa yang mengupas peranan ratusan koperasi kariah masjid dalam menjana pembangunan ekonomi ummah setempat.

Semalam, tangkap layar perbualan ringkas oleh Ridhuan melalui aplikasi Whatsapp itu tular diperkatakan ramai warganet tempatan yang turut berasa sedih dengan situasi berkenaan.

“Forum Perdana dibatalkan. Baru sahaja dapat notis daripada pihak RTM. Saya tidak dibenarkan keluar atas arahan menteri,” nukilnya dengan disertakan poster program tersebut.

Tokoh Maulidur Rasul dan Maal Hijrah itu namun tidak pula menjelaskan lebih lanjut manakala pihak RTM dan Jakim tiada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai isu tersebut. 

 

Sumber :Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending