Connect with us

Terkini

Pelantikan JAC tanpa campur tangan PM, demi mengurangkan pemusatan kuasa PM

Cadangan Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima lagi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri boleh dilaksanakan menerusi penambahbaikan proses pelantikan serta meminda akta terbabit di Parlimen.

Wartawan TMT

Published

on

Pelantikan JAC tanpa campur tangan PM, demi mengurangkan pemusatan kuasa PM
Foto: Datuk Khairul Anwar Rahmat
  • “Sementara kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan ini iaitu untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri, perkara ini perlu diperhalusi oleh pengamal undang-undang keseluruhannya.
  • Cadangan Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat PM boleh dilaksanakan menerusi penambahbaikan proses pelantikan serta meminda akta terbabit di Parlimen.
  • “Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa PM perlu merundingi pihak-pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian JAC.”
  • “Buat masa ini secara pentadbiran, PM sebelum lantik JAC merujuk beberapa Badan Kehakiman dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk dapatkan maklum balas.” – Pengamal Undang-Undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat 

 

SHAH ALAM – Cadangan Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima lagi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri boleh dilaksanakan menerusi penambahbaikan proses pelantikan serta meminda akta terbabit di Parlimen.

Pengamal Undang-Undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berpandangan, beberapa pengukuhan proses pelantikan boleh dimasukkan dalam akta berkaitan supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.

“Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu merundingi pihak-pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian JAC.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai legitimasi atau keabsahan kerana dipilih oleh rakyat.

“Sedangkan pihak-pihak yang dirunding itu siapakah mereka. Adakah benar-benar bebas dan berkecuali dan apakah punca kuasa mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Raja-Raja mencadangkan pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Dalam pada itu Khairul Anuar berkata, cadangan tersebut memerlukan kajian mendalam selain menegaskan ia wajar dirunding dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum dilaksanakan.

“Sementara kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan ini iaitu untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri, perkara ini perlu diperhalusi oleh pengamal undang-undang keseluruhannya.

“Buat masa ini secara pentadbiran, Perdana Menteri sebelum melantik JAC akan merujuk kepada beberapa Badan Kehakiman sama ada dari Semenanjung Malaysia serta dari Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan maklum balas.

“Perdana Menteri secara amalan pentadbirannya akan merundingi pihak-pihak di atas untuk mengelakkan tohmahan tidak baik terhadap ketelusan proses pelantikan hakim,” ujarnya.

Sumber : Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending