Connect with us

Terkini

KKM nasihat rakyat waspada walaupun tiada kes ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia

Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia setakat ini tetapi orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Wartawan TMT

Published

on

KKM nasihat rakyat waspada walaupun tiada kes ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia
Foto: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah
  • Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada gali atau usik apa-apa sedimen di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.
  • Orang ramai dinasihatkan elakkan aktiviti menyelam, melompat ke dalam air di mana air mungkin dicemari ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.
  • Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.
  • Ameba Naegleri Fowleri dikenali ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

 

KUALA LUMPUR: Tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’ dikesan di Malaysia setakat ini tetapi orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

“Langkah lain ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.

Ameba Naegleri Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

Semalam, Korea Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

Katanya, gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

“Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

Menurut Noor Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat.

 

Sumber : Free Malaysia Today

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending