Connect with us

Terkini

KKM kaji semula Dasar GEG – Menteri Kesihatan

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan meneliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG), dari segi pelaksanaannya menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang belum diluluskan di Parlimen.

Wartawan TMT

Published

on

KKM kaji semula Dasar GEG - Menteri Kesihatan
Foto: Dr Zaliha Mustafa.
  • “(Dasar GEG) ada baiknya bagi saya, tetapi saya perlu lihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaan itu bila kita nak sampai ke sesuatu keputusan, kadang-kadang (pelaksanaan) tidak boleh drastik… itu saya akan tengok,”
  • RUU berkenaan bakal melarang penjualan dan penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ pada individu yang lahir 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, tujuan lahirkan Generasi Penamat bagi merokok.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau akan meneliti semula Dasar Generasi Penamat (GEG), dari segi pelaksanaannya menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang belum diluluskan di Parlimen.

“(Dasar GEG) itu ada baiknya secara umum bagi saya, tetapi saya perlu lihat dari segi pelaksanaannya. Pelaksanaan itu apabila kita nak sampai ke sesuatu keputusan, kadang-kadang (pelaksanaan) tidak boleh drastik… itu saya akan tengok,” katanya ketika menjadi tetamu di program Bersama Pemimpin terbitan Bernama Radio pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mahu meneruskan pelbagai dasar digubal kementerian itu oleh menteri sebelumnya.

Dr Zaliha berkata, beliau terbuka untuk menerima nasihat dan cadangan daripada bekas menteri-menteri kesihatan dan pemegang taruh dalam menerajui kementerian itu.

Menjadi wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kesihatan, Dr Zaliha mengakui cabaran terbesarnya ialah meneruskan kecemerlangan KKM, di samping berusaha untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan negara secara amnya.

Rang undang-undang berkenaan antaranya bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat bagi merokok.

Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lepas, tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi. – The Merdeka Times

Sumber: Sinar Harian

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending