Connect with us

Terkini

Wartawan perlu dibenarkan bekerja tanpa rasa takut – Johan Jaafar

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar menekankan bahawa wartawan mempunyai hak untuk bertindak sebagai mata dan telinga orang ramai ketika menjalankan tanggungjawab memberikan laporan kepada masyarakat.

Wartawan TMT

Published

on

Wartawan perlu dibenarkan bekerja tanpa rasa takut - Johan Jaafar
Foto: Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar, sumber Sinar Harian.
  • Tan Sri Johan Jaafar menekankan wartawan mempunyai hak bertindak sebagai mata dan telinga dalam memberi laporan kepada masyarakat.
  • Wartawan perlu dibenarkan bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih.
  • Ia terutama menghasilkan laporan membabitkan keselamatan dan kepentingan negara.

SHAH ALAM – Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar menekankan bahawa wartawan mempunyai hak untuk bertindak sebagai mata dan telinga orang ramai ketika menjalankan tanggungjawab memberikan laporan kepada masyarakat.

Menyentuh mengenai pendedahan yang dilakukan sebuah media tempatan berkenaan operasi agensi perisikan Israel, Mossad, Johan berkata, wartawan perlu dibenarkan bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih terutamanya dalam perkara membabitkan keselamatan dan kepentingan negara.

“Akhbar bebas adalah penting untuk memastikan demokrasi berfungsi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan media mengenai tindakan polis memanggil Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Farrah Naz Karim berhubung beberapa siri pendedahan mengenai operasi agensi perisikan Israel, Mossad untuk menculik rakyat Palestin di dalam negara baru-baru ini.

Akhbar tersebut sebelum itu pada Selasa melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.

Perkara tersebut terbongkar apabila dua rakyat Malaysia dipercayai ditahan kerana dikatakan terbabit dalam kes penculikan warga Palestin dipercayai merupakan aset bernilai tinggi Briged Hamas al-Qassam pada akhir September lalu.

Laporan itu turut menyatakan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum tahun 2018 dan disyaki menjadi dalang kepada rangkaian perisikan Israel di dalam negara.

Johan berkata, laporan tersebut adalah sesuatu yang mengejutkan dan membimbangkan untuk kedaulatan negara.

“Hakikat bahawa mereka merancang untuk menculik dua rakyat Palestin yang bernilai tinggi di sini adalah mengganggu.

“Kita adalah negara yang berdaulat dan tidak ada negara, apatah lagi Israel, mempunyai hak untuk beroperasi dalam keadaan sedemikian. Ia juga mendedahkan bahawa Mossad menggunakan penduduk tempatan untuk menculik rakyat Palestin.

“Menteri Dalam Negeri dan polis mesti memastikan orang ramai bahawa operasi rahsia itu sama sekali tidak boleh diterima dan mesti dikutuk,” katanya.

Sumber: Sinar Harian 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending