Antarabangsa
Tycoon Transgender Thai beli syarikat Miss Universe RM94.4 juta
Tycoon Transgender dari Thailand, Anne Jakapong Jakrajutatip membeli syarikat pengendali pertandingan ratu cantik Miss Universe pada harga USD20 juta (RM94.4 juta).
- Tycoon Transgender Thailand, Anne Jakapong Jakrajutatip membeli syarikat pengendali pertandingan ratu cantik Miss Universe pada harga USD20 juta (RM94.4 juta).
- Selebriti transgender itu pernah membintangi rancangan realiti popular versi Thai bertajuk Project Runway dan Shark Tank.
- Jakrajutatip berkata Pertubuhan Miss Universe adalah “penambahan kukuh dan strategik” kepada portfolio syarikatnya, JKN Global Group.
- Miss Universe pernah dimiliki bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (1996 hingga 2015).
WASHINGTON – Tycoon Transgender dari Thailand, Anne Jakapong Jakrajutatip membeli syarikat pengendali pertandingan ratu cantik Miss Universe pada harga USD20 juta (RM94.4 juta).
Jakrajutatip adalah bos JKN Global Group yang menerbitkan program televisyen di Thailand.
Dia pernah membintangi rancangan realiti popular versi Thai bertajuk Project Runway dan Shark Tank.
Jakrajutatip dalam kenyataannya berkata, Pertubuhan Miss Universe adalah “penambahan kukuh dan strategik” kepada portfolio syarikatnya.
“Kami bukan sahaja ingin meneruskan legasinya dalam menyediakan platform kepada individu yang berbakat daripada pelbagai latar belakang, budaya dan tradisi, tetapi juga untuk mengembangkan jenama untuk generasi akan datang,” katanya dipetik BBC.
Miss Universe pernah dimiliki bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (1996 hingga 2015).
Trump menjual syarikat itu selepas dua rakan kongsi televisyennya memutuskan untuk tidak menyiarkan pertandingan itu ekoran komen bekas Presiden AS itu mengenai pendatang tanpa izin dalam kempen presidennya pada 2016.
Trump juga dikritik apabila didakwa memanggil bekas Miss Universe, Alicia Machado dengan nama panggilan “Miss Piggy”.
Sumber: BBC