Connect with us

Terkini

Belasungkawa : Perginya figura di sebalik “The Dawn Raid” Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Hidayah Sani

Published

on

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia
Foto: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
  • Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia jam 11.08 malam tadi selepas dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.
  • Allahyarham antara figura yang menggegar dunia dalam Serangan Subuh atau Dawn Raid pada tahun 1981 yang menyaksikan pengambilalihan syarikat perladangan British iaitu Kumpulan Guthrie Berhad oleh Kerajaan Malaysia.
  • Menerusi kenyataan di Facebook rasminya difahamkan atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meninggal dunia jam 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

Difahamkan Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

Pemergian Tan Sri Khalid Ibrahim bukan sahaja memberi kesan kepada dunia politik negara, namun juga dunia korporat. 

Allahyarham antara figura penting yang pernah menggegar dunia dalam Serangan Subuh atau Dawn Raid ke atas Bursa Saham London pada 1981, menyaksikan pengambilalihan syarikat perladangan British iaitu Kumpulan Guthrie Berhad oleh Kerajaan Malaysia.

Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu berada di posisi sebagai pengurus pelaburan di Perbadanan Nasional Berhad (PNB) telah dipilih untuk merangka strategi bagi rancangan itu.

Tanggungjawab beliau dalam perbadanan tersebut kian meningkat hingga jawatan timbalan pengerusi dan CEO Kumpulan Guthrie berjaya disandang olehnya.

Di Guthrie, beliau bertanggungjawab melaksanakan pelan pengembangan bisnes syarikat tersebut daripada perladangan kepada cabang perniagaan lain seperti perindustrian dan pembangunan hartanah. 

Pelan tersebut dilancarkan pada tahun 1994. 

Antara projek hartanah pertama dilancarkan Guthrie ialah projek bandar Bukit Jelutong di Shah Alam yang memperlihatkan ianya antara projek yang paling menguntungkan kepada syarikat itu. 

Perjalanan Tan Sri Khalid sebagai ahli politik bermula pada tahun 2006 apabila beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), malahan ketika itu beliau turut dilantik sebagai bendahari parti ditubuhkan penyokong gerakan Reformasi diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 menyaksikan kerusi Ijok berjaya dirampas beliau dan bermulalah tanggungjawab Allahyarham sebagai Menteri Besar Selangor.

Alllahyarham Abdul Khalid melaksanakan beberapa polisi seperti memberi 20 meter padu air kepada isi rumah di Selangor dan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor 2010, undang-undang seumpamanya pertama di negara ini. 

Semasa penggal kedua menjawat jawatan MB, Tan Sri Khalid merancang menubuhkan Dana Pembangunan Bandar Selangor sebagai cara membangunkan bandar-bandar utama seperti Petaling Jaya dan Klang menjadi bandar-bandar bertaraf dunia. 

Melihat kepada pengalamannya sebagai ahli perniagaan dan ahli ekonomi, tidak mengejutkan mengapa pada tahun 2018, pihak kerajaan melantiknya sebagai Ketua Kluster Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI). 

Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, jasa baik Allahyarham pasti akan dikenang rakyat Malaysia buat selama-lamanya

Juga, tidak dapat dinafikan bahawa Allahyarham Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai salah seorang pemimpin yang banyak berbakti pada negara.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, difahamkan atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam.

Tan Sri Khalid, 76, tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak dan dua cucu.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

SUMBER : The Patriots, iSaham

 

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending