Terkini
Suami isteri diberkas, suspek kes dera anak angkat
Susulan beberapa video rakaman tular berkenaan seorang kanak-kanak yang disyaki didera, suspek sepasang suami isteri telah ditangkap polis di sebuah daerah di Selangor semalam.

- Sepasang suami isteri ditangkap dipercayai suspek kes dera.
- Mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun merupakan anak angkat kepada pasangan tersebut.
- Mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri kerana kelahirannya tidak didaftarkan.
- Bukan sahaja dipukul dengan batang penyapu dan penyangkut baju, mangsa juga dikatakan pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suspek.
KUALA LUMPUR – Susulan beberapa video rakaman tular berkenaan seorang kanak-kanak yang disyaki didera, suspek sepasang suami isteri telah ditangkap polis di sebuah daerah di Selangor semalam.
Kedua-dua suspek direman selama 7 hari bermula pada hari ini bagi membantu siasatan.
Asisten Komisioner Mohd Zaid bin Hassan, Ketua Polis Daerah Kajang mengesahkan bahawa satu penahanan telah dibuat berhubung kes disyaki penderaan kanak-kanak selepas menerima laporan pada jam 12.14 tengah malam.
Kejadian dikatakan berlaku pada 18 Julai di sebuah taman perumahan di Beranang.
Laporan yang dibuat menyatakan bahawa mangsa merupakan anak angkat kepada sepasang suami isteri telah dicederakan atau didera oleh pasangan tersebut.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk menelan nasi sehingga termuntah serta kanak-kanak ini dikatakan hiperaktif”, katanya dalam sebuah kenyataan pada Jumaat.
Mangsa telah dikenal pasti sebagai seorang kanak-kanak perempuan berusia anggaran 4 tahun yang merupakan anak kepada warganegara Indonesia dan tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri kerana kelahirannya tidak pernah didaftarkan.
Kanak-kanak tersebut dikatakan telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.
“Bukan sahaja dipukul dengan batang penyapu dan penyangkut baju, mangsa juga pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suspek,” ujarnya lanjut.
Sebaik menerima laporan, Polis Kajang telah menyelamatkan mangsa dan menahan seorang suspek wanita tempatan dan seorang suspek lelaki warganegara Singapura yang merupakan sepasang suami isteri berumur lingkungan 28 hingga 30-an.
Mengulas lanjut, Zaid memberitahu bahawa mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Menurut pihak polis, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu The Merdeka Times melaporkan tentang beberapa video rakaman yang melihatkan seorang kanak-kanak dipukul dengan batang penyapu dan penyangkut baju.
