Connect with us

Terkini

Baling banjir lagi, penduduk gesa kerajaan negeri batal projek Musang King

Kerajaan negeri digesa mengambil langkah segera memindahkan 19 keluarga di Kampung Lata Chelak di Iboi yang kini terus-menerus terdedah kepada risiko bencana kepala air.

Wartawan TMT

Published

on

banjir baling berlaku lagi
Foto: Sumber Bernama.
  • Kerajaan negeri Kedah digesa membatalkan projek ladang durian Musang King yang dikatakan menjadi punca bencana banjir.
  • Banjir lumpur dan kepala air menyebabkan 19 keluarga melibatkan 58 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Padang Empang selepas rumah mereka dimasuki air berlumpur
  • Insiden kepala air yang berulang membuatkan para penduduk risau tentang keselamatan mereka.
  • Penduduk mengakui keadaan Sungai Kupang yang cetek akibat dipenuhi pasir selepas tragedi 4 Julai lalu menyebabkan air mudah melimpah dengan cepat ke penempatan penduduk.

BALING – Kerajaan negeri digesa mengambil langkah segera memindahkan 19 keluarga di Kampung Lata Chelak di Iboi yang kini terus-menerus terdedah kepada risiko bencana kepala air.

Selain itu, kerajaan negeri perlu mengambil langkah drastik dengan membatalkan projek ladang durian Musang King di puncak Gunung Inas, yang didakwa menjadi antara punca bencana alam di kawasan berkenaan.

Penasihat Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah, Mohd Sobri Ramlee memberitahu bahawa pihaknya sebulat suara dengan 36 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia yang sebelum ini berharap kerajaan negeri mengambil tindakan menutup projek itu dan menggantikannya dengan tanaman semula jadi pokok balak spesies asal.

“Semalam berlaku lagi kepala air dan (ini buktinya) orang kampung tidak selamat lagi. Mereka sepatutnya dipindahkan bersama mangsa sebelum ini, jangan sampai ada lagi yang terkorban baru hendak bertindak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada Jumaat.

Semalam, banjir lumpur dan kepala air menyebabkan 19 keluarga melibatkan 58 orang penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Padang Empang selepas rumah mereka dimasuki air berlumpur.

Kebanyakan mangsa adalah penduduk kampung yang kediaman mereka terletak berhampiran Sungai Kupang yang kini menjadi cetek selepas kejadian kepala air yang turut mengorbankan tiga nyawa pada 4 Julai lalu.

Sobri turut berpesan agar menjadikan bencana banjir yang melanda pada 4 Julai lalu sebagai pengajaran buat semua pihak.

Advertisement

“Jangan cabar alam semula jadi kerana kesannya sangat besar, kerajaan negeri mana sekalipun perlu telus dalam membuat keputusan.

“Kita tak mahu ada lagi nyawa terkorban selepas ini kerana yang jadi mangsa adalah orang kampung.

“Mereka sudah rasa tak selamat di kawasan itu. Kerajaan negeri juga beri jawapan kata putus sama ada kawasan sekitar Gunung Inas selamat diduduki atau tidak,” katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Zainol Salleh, 70, mengakui dia dan keluarga merasakan lebih selamat untuk berlindung di PPS berbanding di rumah sendiri yang jaraknya terlalu dekat dengan Sungai Kupang.

Katanya, kebanyakan penduduk masih trauma dengan kejadian awal bulan lalu dan kini bencana sama berulang lagi petang semalam.

Zainol juga mengakui keadaan Sungai Kupang yang cetek akibat dipenuhi pasir selepas tragedi 4 Julai lalu menyebabkan air mudah melimpah dengan cepat ke penempatan penduduk.

Sumber: Berita Harian

Advertisement

Author

Terkini

Vape berisi cecair dadah sintetik dikesan AADK

Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
  • Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.
  • “Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini. 
  • “Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.

KUALA SELANGOR: Penggunaan peranti vape berisi cecair dadah sintetik dikesan di negara ini oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, kes itu meliputi penggunaan dadah jenis sintetik dan tiada begitu spesifik atau berleluasa.

“Namun, kita sememangnya ada mengesan dua atau tiga kes yang berlaku sebelum ini. 

“Bahannya kadang-kadang dadah sintetik dalam bentuk cecair dan kita berharap ianya tidak banyak di negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Retreat Bersama Klien AADK dan Malam Apresiasi Media, malam semalam.

Terdahulu penggunaan peranti vape yang makin popular dalam kalangan masyarakat kini dilaporkan melalui ‘transformasi’ apabila ramai pengguna terutama remaja memilih untuk menggunakan perisa yang mengkhayalkan.    

Perisa itu dipercayai menggunakan dadah yang diubah suai kepada cecair dikenali sebagai pedon dan magic mushroom.

Pusat Racun Negara sebelum ini turut mendedahkan magic mushroom yang terkandung atau ditambah dalam vape merujuk kepada ekstrak bahan aktif iaitu Psilocybin untuk mendapatkan kesan halusinogen. 

Advertisement

Halusinogen bermaksud kepada halusinasi iaitu keseronokan yang melampau.

Mengulas lanjut, kata Sutekno, AADK akan membuat intervensi awal dengan mendapatkan perintah mahkamah bagi individu itu menjalani rawatan pemulihan.

“Ia melibatkan faktor pengesanan sekiranya mereka didapati positif dadah sama ada menerusi peranti atau secara oral,” ujarnya.

Pada 15 Julai lalu, tindakan tiga beranak menjual campuran dadah cecair jus ganja ke dalam botol cecair vape memakan diri apabila mereka ditahan polis di sekitar Paya Pulai, Segamat, Johor.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, tiga sekeluarga yang diberkas terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang bapa masing-masing berusia 24 dan 49 tahun.

Cecair itu diedarkan kepada penagih, pelajar dan orang awam yang ingin mencuba perisa istimewa (resepi rahsia) di sekitar Segamat.

Advertisement

Difahamkan, sebotol cecair vape dicampur cecair ganja itu berharga lebih RM240, manakala yang kurang berkemampuan ditawarkan plan kemudahan pembelian mampu rasa kepada individu bawah usia termasuk pelajar dengan tiap titisan dijual antara RM3 hingga RM5 sahaja.

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending