Antarabangsa
Ancam bakar Quran, pemuda di Singapura hanya dihukum 60 jam khidmat masyarakat
Seorang pemuda dikenakan hukuman percubaan 18 bulan, termasuk 60 jam kerja-kerja khidmat masyarakat, atas kesalahan membuat kenyataan menghina Islam.

- Sun Sicong, 21 tahun membuat kenyataan menghina Islam dalam Instagram.
- Diperintah menjalani hukuman percubaan 18 bulan, meliputi 60 jam khidmat masyarakat dan tidak boleh keluar rumah dari jam 10 malam hingga 6 pagi setiap hari.
- Perbuatan tersebut turut dikaitkan dengan komentar menyinggung perasaan mangsa rogol.
- Pihak berkuasa terima 62 aduan orang awam berkaitan perbuatan pemuda itu.
SINGAPURA – Seorang pemuda dikenakan hukuman percubaan 18 bulan, termasuk 60 jam kerja-kerja khidmat masyarakat, atas kesalahan membuat kenyataan menghina Islam dalam Instagram yang kemudiannya tular.
Sun Sicong, 21, pelajar Politeknik Temasek, turut memberi komentar yang menyinggung perasaan mengenai mangsa-mangsa rogol.
Channel News Asia melaporkan, pelajar itu mengaku salah bahawa tindakannya memuat naik hantaran itu adalah dengan niat untuk menyinggung perasaan umat Islam.
Selain itu, Sun juga berdepan dua tuduhan atas tindakan memberi komentar mengenai rogol dan pemilikan filem lucah yang sedang dipertimbangkan untuk dijatuhkan hukuman.
Mahkamah mendapati bahawa Sun, rakyat China yang juga penduduk tetap Singapura, menghina Islam melalui Instagram Stories pada 2018 dan 2019.
Antara hantaran yang dikongsikan adalah berkaitan perbuatan keganasan antara Muslim, mengancam untuk membakar teks-teks keagamaan dan menghina ajaran Islam.
Dia turut berkata bahawa dia “tiada masalah untuk melaksanakan genosid” sekiranya dia “berkuasa”.
Ketika insiden itu, tiada laporan polis dibuat berkaitan hantaran tersebut kerana ia akan dipadam secara automatik setelah 24 jam.
Isu ini kembali mendapat perhatian pada 7 Jun 2020 dan pihak berkuasa mendapat 62 aduan daripada orang awam.
Ibu bapa Sun membayar ikat jamin S$5,000 bagi memastikan tingkah laku anak mereka baik semasa hukuman percubaan itu.
Di bawah hukuman percubaan itu, Sun harus berada di rumah dari jam 10 malam hingga 6 pagi dan menjalani 60 jam khidmat masyarakat.
Sumber : Channel News Asia (CNA)
