Connect with us

Terkini

Pendaftaran pelarian baharu dibeku, UNHCR terus runding dengan kerajaan

Published

on

Foto: Wakil UNHCR, Louise Aubin.
  • Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyambut baik usaha kerajaan Malaysia memperkukuh sistem pendaftaran dan pengurusan pelarian di negara ini.
  • “Prosedur suaka yang adil, telus dan cekap akan menyokong matlamat Malaysia untuk meningkatkan keselamatan serta ketepatan data, di samping melindungi mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan,” katanya kepada The Merdeka Times.
  • Menurut beliau, UNHCR terus berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai aturan peralihan berkaitan pembangunan sistem pengurusan suaka nasional.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyambut baik usaha kerajaan Malaysia memperkukuh sistem pendaftaran dan pengurusan pelarian di negara ini.

Wakil UNHCR, Louise Aubin berkata, kerajaan sesebuah negara mempunyai tanggungjawab utama untuk memberikan perlindungan antarabangsa kepada pelarian dan pencari suaka di wilayahnya, manakala UNHCR berperanan membantu kerajaan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Prosedur suaka yang adil, telus dan cekap akan menyokong matlamat Malaysia untuk meningkatkan keselamatan serta ketepatan data, di samping melindungi mereka yang melarikan diri daripada konflik dan penganiayaan,” katanya kepada The Merdeka Times.

Menurut beliau, UNHCR terus berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai aturan peralihan berkaitan pembangunan sistem pengurusan suaka nasional.

Katanya, tumpuan segera UNHCR adalah untuk membincangkan pelaksanaan praktikal bersama kerajaan dan memastikan kesinambungan perlindungan kepada pelarian serta pencari suaka, khususnya mereka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak.

Kenyataan itu dibuat susulan arahan kerajaan pada 23 Julai supaya UNHCR menghentikan sementara pendaftaran pelarian baharu bagi memberi laluan kepada penyusunan semula sistem pengurusan pelarian di bawah DPP yang mula diperkenalkan pada Januari 2026.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni sebelum ini berkata, keputusan Kabinet berkenaan bertujuan membolehkan kerajaan melaksanakan proses saringan lebih ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

Pendaftaran di bawah DPP dijangka memastikan hanya individu yang benar-benar layak didaftarkan, selain menghalang kemasukan pendatang tanpa izin.

Menurut data UNHCR, kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia setakat akhir Februari, dengan lebih separuh daripadanya merupakan etnik Rohingya Islam yang melarikan diri dari Myanmar.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author