Connect with us

Antarabangsa

Pemilihan Khalil al-Hayya bukti Hamas berpegang teguh kepada sistem syura

Published

on

Foto: Dr Khalil al-Hayya.
  • Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, Hamas memaklumkan al-Hayya dipilih menerusi proses pemilihan dalaman yang melibatkan wakil daripada pelbagai wilayah operasi pergerakan tersebut, termasuk Semenanjung Gaza, Tebing Barat, tahanan Palestin di penjara Israel dan anggota di luar Palestin.
  • Pergerakan itu turut menyatakan seluruh kepimpinan, institusi dan anggotanya berdiri teguh di belakang kepimpinan yang dipilih bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab politik dan perjuangannya.

Gerakan Hamas menegaskan pemilihan Dr Khalil al-Hayya sebagai Ketua Biro Politik yang baharu membuktikan komitmennya untuk terus berpegang teguh kepada sistem syura dan tadbir urus institusi, meskipun berdepan situasi peperangan serta cabaran keselamatan yang luar biasa.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, Hamas memaklumkan al-Hayya dipilih menerusi proses pemilihan dalaman yang melibatkan wakil daripada pelbagai wilayah operasi pergerakan tersebut, termasuk Semenanjung Gaza, Tebing Barat, tahanan Palestin di penjara Israel dan anggota di luar Palestin.

Menurut Hamas, kejayaan melaksanakan proses pemilihan itu ketika kepimpinan dan anggotanya terus menjadi sasaran serangan Israel membuktikan organisasi tersebut kekal dipandu oleh institusi serta prinsip syura yang menjadi asas pentadbirannya.

“Hamas ialah sebuah gerakan yang ditadbir oleh institusi dan syuranya serta berpegang teguh kepada sistem dan peraturannya,” menurut kenyataan itu.

Pergerakan itu turut menyatakan seluruh kepimpinan, institusi dan anggotanya berdiri teguh di belakang kepimpinan yang dipilih bagi memastikan kesinambungan tanggungjawab politik dan perjuangannya.

Hamas menyifatkan pelaksanaan pemilihan tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan pentadbiran, sebaliknya menjadi bukti bahawa mekanisme syura terus berfungsi walaupun pergerakan itu berdepan tekanan keselamatan dan politik yang amat mencabar.

Dalam kenyataan sama, Hamas mengucapkan tahniah kepada al-Hayya atas pemilihannya serta mendoakan agar beliau diberi kekuatan untuk memikul amanah memimpin pergerakan itu.

Hamas turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Gaza atas ketabahan mereka menghadapi peperangan, selain menyampaikan penghormatan kepada rakyat Palestin di Baitulmaqdis, Tebing Barat, wilayah Palestin 1948, kem pelarian dan diaspora Palestin di seluruh dunia.

Pergerakan itu turut menegaskan bahawa keutamaan semasanya ialah menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin, menamatkan sekatan ke atas Gaza, mempercepatkan penyaluran bantuan kemanusiaan dan memulakan usaha pembinaan semula wilayah itu. 

Dapatkan perkembangan terkini di Palestin secara pantas dan eksklusif dengan sertai telegram Dunia Palestin: t.me/duniapalestin

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author