Terkini
Diabetes Jenis 2 dikesan dalam kalangan belia seawal usia 14 Tahun – Dzulkefly
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR) menunjukkan trend yang amat menggusarkan apabila sebanyak 1,932 kes baharu didaftarkan pada 2025.
- Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini (setakat Jun 2026) pula sebanyak 660 kes baharu telah dicatatkan.
- “KKM akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mengkaji keberkesanan kenaikan kadar cukai gula ini pada 2027, iaitu tiga tahun selepas kadar cukai tersebut dinaikkan pada 2024,” katanya.
KUALA LUMPUR — Trend penyakit tidak berjangkit (NCD), khususnya diabetes jenis 2 kini dikesan menular dalam kalangan golongan muda seawal usia 14 tahun, sekali gus menjadi isyarat amaran awal terhadap status kesihatan belia negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan data Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR) menunjukkan trend yang amat menggusarkan apabila sebanyak 1,926 kes baharu didaftarkan pada 2024, sebelum meningkat kepada 1,932 pesakit pada 2025.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini (setakat Jun 2026) pula sebanyak 660 kes baharu telah dicatatkan.
Penularan ini membuktikan bahawa diabetes jenis 2 kini bukan lagi penyakit yang hanya melibatkan golongan dewasa, malah telah mula menjejaskan golongan remaja dan belia di bawah umur 30 tahun.
“Dapatan ini menunjukkan bahawa terdapat golongan muda yang sebenarnya mempunyai faktor risiko atau penyakit tidak berjangkit tanpa disedari. Kini, kita melihat individu didiagnos dengan diabetes jenis 2 pada usia yang lebih muda seawal 14 tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) yang meminta statistik terkini NCD dalam kalangan belia bawah 30 tahun, serta status keberkesanan kempen ‘War on Sugar’ (Perangi Gula) dan penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional.
Dzulkefly menjelaskan risiko itu terbukti menerusi pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) pada tahun 2025 yang menyaring 347,813 individu berumur 18 hingga 30 tahun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11,751 orang atau 3.4 peratus dikenal pasti mempunyai paras glukosa darah yang tinggi, manakala 30,170 orang (8.8 peratus) pula didapati mempunyai bacaan tekanan darah yang tinggi, walaupun 98.1 peratus daripada keseluruhan peserta saringan tidak mempunyai sejarah NCD,” katanya.
Bagi menangani situasi berkenaan, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) kini mengalihkan fokus sistem penyampaian daripada sick-care (rawatan penyakit) kepada health-care (penjagaan kesihatan pencegahan) menerusi pengesanan awal dan intervensi perubahan gaya hidup.
Mengulas mengenai keberkesanan cukai minuman manis bergula (SSB) yang diperkenalkan sejak 1 Julai 2019 pada kadar RM0.40 seliter, Dzulkefly berkata langkah itu memberikan impak positif apabila kadar pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja menyusut daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.
Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 turut merekodkan penurunan prevalens pengambilan minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari daripada 36.9 peratus (2019) kepada 32.4 peratus (2022).
Susulan keberkesanan itu, KKM telah meningkatkan kadar cukai berkenaan sebanyak 10 sen pada 1 Jan 2024, sebelum dinaikkan lagi sebanyak 40 sen menjadikan kadar semasa RM0.90 seliter bermula 1 Jan 2025.
“KKM akan bekerjasama dengan UNICEF untuk mengkaji keberkesanan kenaikan kadar cukai gula ini pada 2027, iaitu tiga tahun selepas kadar cukai tersebut dinaikkan pada 2024,” katanya.
Beliau berkata komitmen mengekang pengambilan gula berlebihan ini turut diperkukuh menerusi Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030, yang menggunakan pendekatan sains tingkah laku (behavioural insights) dan galakan (nudging).
Antara inisiatif utama di bawah pelan itu ialah program KiBaR (Kira, Bakar, Rekod), pengenalan Logo Pilihan Lebih Sihat (HCL), sistem pelabelan Nutri-Grade, serta Program Makan Secara Sihat (HDP) di premis makanan. — BERNAMA