Connect with us

Terkini

Sudah tiba masa gubal Akta Perlindungan Guru – Asyraf Wajdi

Published

on

Foto: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
  • Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keperluan terhadap akta berkenaan semakin mendesak susulan kebimbangan bahawa guru kini lebih terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.
  • “Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi guru yang bertindak dengan suci hati (good faith), secara munasabah dan mengikut prosedur untuk mengawal disiplin serta keselamatan pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menggubal Akta Perlindungan Guru bagi melindungi golongan pendidik yang mengambil tindakan secara munasabah, dengan niat baik serta mematuhi prosedur ketika mengawal disiplin dan menjaga keselamatan pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keperluan terhadap akta berkenaan semakin mendesak susulan kebimbangan bahawa guru kini lebih terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi guru yang bertindak dengan suci hati (good faith), secara munasabah dan mengikut prosedur untuk mengawal disiplin serta keselamatan pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Asyraf Wajdi, guru sering perlu membuat keputusan serta-merta bagi menangani isu disiplin, keselamatan atau situasi kecemasan di sekolah.

Justeru, guru yang bertindak mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah hanya disebabkan rasa tidak puas hati pihak tertentu.

Beliau berkata, akta berkenaan juga boleh membantu mengurangkan budaya litigasi apabila pertikaian yang berlaku di sekolah terus dibawa ke mahkamah tanpa melalui mekanisme penyelesaian awal.

Antara mekanisme yang boleh dipertimbangkan termasuk siasatan dalaman dan proses mediasi sebelum sebarang tindakan undang-undang dimulakan.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya bantuan guaman atau perlindungan indemniti kerajaan diberikan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang akibat tindakan yang dilakukan dalam ruang lingkup tugas rasmi.

Menurutnya, terdapat guru yang terpaksa menanggung sendiri kos guaman ketika berdepan tindakan undang-undang, meskipun tindakan mereka dibuat dalam kapasiti sebagai penjawat awam dan berdasarkan tanggungjawab di sekolah.

Asyraf Wajdi berkata, perlindungan undang-undang yang jelas juga penting bagi meningkatkan keyakinan guru untuk menjalankan tugas, khususnya ketika mengambil tindakan disiplin terhadap murid.

Katanya, kebimbangan berterusan terhadap risiko saman boleh menyebabkan guru menjadi terlalu berhati-hati atau memilih untuk tidak mengambil tindakan sewajarnya, sekali gus menjejaskan pengurusan sekolah dan usaha membentuk sahsiah murid.

Beliau turut berpandangan bahawa perlindungan undang-undang yang munasabah dapat meningkatkan penghormatan terhadap profesion perguruan serta membantu menarik dan mengekalkan tenaga pengajar berkualiti dalam bidang pendidikan.

Bagaimanapun, perlindungan tersebut dicadangkan khusus untuk guru yang bertindak dengan niat baik, secara munasabah dan mengikut prosedur, bukannya memberi kekebalan terhadap sebarang salah laku atau tindakan yang melampaui batas.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author