Terkini
Kenyataan Anwar tolak LGBT, sekularisme, komunis kukuhkan perpaduan Malaysia – penganalisis
Kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, dilihat mampu menyatupadukan rakyat Malaysia.
- Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan jaminan menolak pengiktirafan LGBT, konsep sekularisme dan ideologi komunis dilihat dapat menyatupadukan rakyat Malaysia.
- Penganalisis politik dari Fakulti Ekologi Manusia UPM, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tiada tentangan secara terbuka daripada orang ramai berkaitan itu.
- “Anwar sendiri mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan saya tak nafikan jugalah kenyataan beliau itu cuba untuk meyakinkan orang Melayu,” katanya.
- Mohd Izani juga nampak ketegasan Perdana Menteri berhubung isu ini memandangkan Anwar mengetahui risiko yang bakal dihadapi jika ia diiktiraf.
KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini, dilihat mampu menyatupadukan rakyat Malaysia.
Ia berkenaan jaminan Ahli Parlimen Tambun itu bahawa golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), konsep sekularisme dan ideologi komunis tidak mungkin diiktiraf dalam kerajaan campuran hari ini.
Penganalisis politik dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kenyataan itu bagaimanapun tidak mendapat tentangan secara terbuka daripada orang ramai.
“Tiada maklum balas yang keterlaluan sebab bagi saya dalam sistem demokrasi kita mesti menyantuni dan menghormati hak majoriti.
“Dalam sistem demokrasi kita kena mendahulukan pandangan majoriti tanpa mendiskriminasikan kumpulan minoriti di negara kita.
“Apa yang disebutkan Anwar itu satu perkara yang baik akan dapat memperkukuhkan lagi masyarakat kita dan memuaskan hati kumpulan majoriti dalam masyarakat negara kita,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.
Ujarnya, tidak dinafikan pemimpin-pemimpin “agak lembut” dengan kumpulan LGBT semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018, jadi seolah-olah kerajaan mengiktiraf kelompok tersebut.
“Anwar sendiri mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan saya tak nafikan jugalah kenyataan beliau itu cuba untuk meyakinkan orang Melayu dan orang Islam bahawa beliau tidak akan mengiktiraf kumpulan yang telah disebutkan tadi.
“Pada masa sama juga sebenarnya ingin meyakinkan rakyat Malaysia secara keseluruhan bahawa tiada tempat untuk kumpulan-kumpulan LGBT dan komunis ini sebenarnya walaupun tidak dinafikan mereka memang wujud,” jelasnya.
Menurutnya, pandangan Anwar sebagai ketua kerajaan dalam soal LGBT dan komunis itu dilihat tegas memandangkan beliau mengetahui risiko yang bakal dihadapi sekiranya mengiktiraf puak-puak ini.
“Saya nampak ketegasan Anwar di situlah walaupun tak dinafikan ada beberapa isu yang beliau agak lunak, kalau dulu dia kata dia enggan bekerjasama dengan pihak yang terlibat dengan korupsi dan sebagainya.
“Apa yang kita boleh harapkan Perdana Menteri agar konsisten dengan apa yang sudah diucapkan kerana rakyat akan berpegang kepada kenyataan-kenyataan beliau.
“PM sedia maklum kalau beliau mengubah kenyataan terhadap isu-isu yang melibatkan LGBT akan mendapat tentangan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. – The Merdeka Times