Connect with us

Terkini

‘Network School’ Forest City dipromosi pempengaruh pro-Israel

Published

on

Foto: Pempengaruh antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel atau mempunyai pendirian kontroversi mengenai konflik di Gaza.
  • Kewujudan komuniti teknologi antarabangsa dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor semakin mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama selepas projek itu dilihat menggunakan pengaruh beberapa pempengaruh antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel atau mempunyai pendirian kontroversi mengenai konflik di Gaza.
  • Perhatian bukan sahaja tertumpu kepada konsep “negara rangkaian” yang dibawa pengasasnya, Balaji Srinivasan, malah kepada penglibatan pencipta kandungan seperti Nuseir Yassin atau Nas Daily, Nomad Tev dan Dylan Page dalam mempromosikan komuniti berkenaan.

ISKANDAR PUTERI – Kewujudan komuniti teknologi antarabangsa dikenali sebagai Network School di Forest City, Johor semakin mencetuskan persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama selepas projek itu dilihat menggunakan pengaruh beberapa pempengaruh antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel atau mempunyai pendirian kontroversi mengenai konflik di Gaza.

Perhatian bukan sahaja tertumpu kepada konsep “negara rangkaian” yang dibawa pengasasnya, Balaji Srinivasan, malah kepada penglibatan pencipta kandungan seperti Nuseir Yassin atau Nas Daily, Nomad Tev dan Dylan Page dalam mempromosikan komuniti berkenaan.

Network School dilancarkan pada 2024 oleh Srinivasan, seorang pelabur teknologi Amerika Syarikat dan bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase. Program itu digambarkan sebagai komuniti kediaman, pembelajaran dan pekerjaan untuk jurutera, pencipta kandungan, pekerja jarak jauh, usahawan teknologi serta pengasas syarikat pemula dari pelbagai negara. 

Komuniti itu dibangunkan berdasarkan gagasan Srinivasan mengenai “network state”, iaitu pembentukan komuniti digital yang berkongsi nilai tertentu sebelum berhimpun secara fizikal, memperoleh wilayah dan akhirnya berusaha mendapatkan pengiktirafan diplomatik daripada negara sedia ada. 

Kontroversi tercetus apabila Srinivasan pernah menggunakan istilah “tech Zionism” untuk menerangkan visi berkenaan. Dalam sebuah podcast pada 2023, beliau menyamakan gagasan membentuk komuniti dalam talian yang kemudian berkumpul di wilayah fizikal sebagai suatu bentuk “diaspora terbalik”.

Penggunaan istilah itu tidak dengan sendirinya membuktikan Network School merupakan projek kerajaan Israel atau dikendalikan organisasi Zionis. Namun, ia mencetuskan kebimbangan mengenai ideologi dan matlamat jangka panjang komuniti tersebut, terutama apabila projek berkenaan beroperasi di Malaysia.

Kegelisahan semakin memuncak selepas Nas Daily menghasilkan video yang mempromosikan Network School dan memperkenalkan Srinivasan sebagai individu yang sedang membangunkan sebuah komuniti teknologi baharu di Forest City.

Video itu menggambarkan Network School sebagai sebuah “masyarakat syarikat pemula” yang berpotensi mengubah kawasan berkenaan menjadi pusat baharu bagi usahawan dan bakat teknologi antarabangsa.

Kehadiran Nas Daily menjadi kontroversi kerana beliau merupakan warganegara Israel yang turut memegang kewarganegaraan Saint Kitts dan Nevis.

Jabatan Imigresen sebelum ini mengesahkan Nas Daily memasuki dan meninggalkan Malaysia secara sah pada Oktober 2022 menggunakan pasport Saint Kitts dan Nevis, bukannya pasport Israel. Beliau dilaporkan menggunakan pasport Israel ketika memasuki Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia menggunakan pasport Caribbean itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai pasport yang digunakannya bagi kunjungan terbaharu ke Forest City.

Selain Nas Daily, pempengaruh yang menggunakan nama Nomad Tev turut memuat naik kandungan mengenai pengalamannya berada di Network School.

Dalam rakaman yang dirujuk pihak yang membangkitkan isu tersebut, Nomad Tev mendakwa beliau memasuki Malaysia menggunakan pasport Amerika Syarikat kerana pasport Israel tidak diterima untuk kemasukan biasa ke negara ini.

Akaun media sosialnya turut memaparkan kandungan mengenai pengalamannya tinggal selama beberapa hari dalam komuniti Network School. 

Bagaimanapun, dakwaan mengenai kerakyatan dan dokumen perjalanan yang digunakannya masih belum disahkan secara rasmi oleh Jabatan Imigresen atau Kementerian Dalam Negeri.

Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada terdapat warganegara Israel lain yang memiliki kerakyatan kedua memasuki Malaysia untuk menyertai atau mempromosikan Network School.

Pempengaruh berita media sosial, Dylan Page, juga dilaporkan menghasilkan video mengenai Network School dan mendakwa komuniti berkenaan sedang membangunkan sebuah masyarakat syarikat pemula di Forest City.

Video Page mengenai projek itu kemudiannya dikongsi secara meluas sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial Malaysia mengenai konsep negara baharu dan kedudukan sebenar Network School. Penglibatan Page turut dipersoalkan kerana pendiriannya mengenai perang di Gaza.

Berdasarkan kandungan yang dirujuk The Merdeka Times, Page pernah mengecam Hamas, menyokong tuntutan supaya Gaza dinyahketenteraan serta mempertikaikan gesaan gencatan senjata sekiranya langkah itu membolehkan Hamas terus kekal berkuasa.

Pandangan tersebut menyebabkan beliau dilihat mengambil pendirian yang selari dengan sebahagian naratif kerajaan Israel mengenai perang di Gaza. Penglibatannya dalam mempromosikan Network School sekaligus menambahkan persoalan mengenai pemilihan pempengaruh yang digunakan untuk membina imej projek berkenaan.

Network School sebelum ini mendapat perhatian kerajaan apabila Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan timbalannya mengunjungi lokasi berkenaan pada 17 April.

Srinivasan turut dilaporkan mengadakan perbincangan dengan pegawai kerajaan mengenai peluang ekonomi digital, kecerdasan buatan, teknologi baharu, pembangunan ekosistem rentas sempadan dan cadangan visa dipercepatkan untuk peserta Network School.

Gobind pada awalnya memuat naik hantaran yang menyifatkan lawatan itu sebagai pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai destinasi bakat teknologi global, namun hantaran tersebut kemudiannya dipadam. 

Susulan dakwaan yang tular, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjanji untuk meneliti sendiri operasi Network School dan membawa kebimbangan masyarakat mengenai projek tersebut ke Parlimen.– The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author