Terkini
Kerajaan Lulus 46 Projek RM207.2 Juta, Sokong Hab ECRL Pasir Puteh
- Kerajaan meluluskan 46 projek pembangunan bagi Parlimen Pasir Puteh, Kelantan, di bawah Rancangan Malaysia Ke‑13 (RMK‑13).
- Peruntukan berjumlah RM207.2 juta disediakan untuk membiayai projek‑projek tersebut.
- Projek merangkumi pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran yang akan menyokong aktiviti berhampiran stesen kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
KUALA LUMPUR — Kerajaan meluluskan 46 projek pembangunan bagi Parlimen Pasir Puteh, Kelantan, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan siling peruntukan berjumlah RM207.2 juta, termasuk pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran yang akan menyokong aktiviti berhampiran stesen kargo Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata antara projek yang diluluskan ialah kerja-kerja pengendalian tanah dan pembangunan infrastruktur kawasan industri hiliran Pasir Puteh, sejajar dengan usaha memanfaatkan pembangunan ECRL sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat.
“Pembangunan kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh dirancang secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL), dengan stesen itu dikenal pasti sebagai hab penumpang serta hab kargo dan logistik.
“Kedudukan stesen yang berhampiran Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada Pasir Puteh untuk berkembang sebagai hab logistik dan industri hiliran, sekali gus berpotensi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai kesediaan kerajaan menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan membangunkan ekonomi hiliran di kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Mohd Shahar berkata sinergi antara kemudahan rel dan pelabuhan itu berpotensi menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi setempat.
“Di bawah RMK-13, kita bukan hanya memberi penekanan kepada projek, malah turut mengambil kira kekuatan sesuatu kawasan. Sekiranya kekuatan kawasan itu ialah logistik, kita akan memberi tumpuan kepada sektor logistik. Jika berkaitan pelancongan, maka infrastruktur pelancongan akan diberi keutamaan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai tempoh pelaksanaan projek, beliau berkata projek di bawah RMK-13 akan mula dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat sehingga 2030.
Beliau berkata kemajuan pelaksanaan projek akan dipantau menerusi sistem MyRMK dan dilaporkan kepada Dewan Rakyat dari semasa ke semasa. — BERNAMA