Connect with us

Terkini

Pekerja pilih tidak mencarum LINDUNG 24 Jam perlu isi perakuan pelepasan liabiliti

Published

on

Foto: Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
  • Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata perakuan itu penting bagi mengelakkan PERKESO atau majikan dipersalahkan pada masa hadapan selepas seseorang pekerja memilih untuk tidak mencarum.
  • “Perakuan itu penting bagi mengelakkan PERKESO atau majikan dipersalahkan pada masa hadapan selepas seseorang pekerja memilih untuk tidak mencarum.
  • “Jika berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu dan tempat kerja, majikan serta PERKESO tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti atau pembayaran faedah,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pekerja tempatan yang memilih untuk tidak mencarum dalam Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) perlu mengisi borang perakuan pelepasan liabiliti yang boleh dimuat turun secara dalam talian mulai Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pekerja berkenaan juga perlu memaklumkan keputusan itu kepada bahagian sumber manusia majikan masing-masing kerana caruman skim berkenaan dibayar oleh majikan.

Beliau berkata pekerja yang melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti itu akan dikecualikan daripada mencarum bagi bulan Julai.

“Perakuan itu penting bagi mengelakkan PERKESO atau majikan dipersalahkan pada masa hadapan selepas seseorang pekerja memilih untuk tidak mencarum.

“Jika berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian di luar waktu dan tempat kerja, majikan serta PERKESO tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti atau pembayaran faedah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata pekerja yang memilih untuk tidak mencarum masih boleh menyertai semula skim berkenaan pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan pekerja meneruskan caruman pada kadar rendah iaitu 0.75 peratus bagi memastikan mereka serta keluarga mendapat perlindungan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu dan tempat kerja.

“Skim ini menyediakan gantian pendapatan sekiranya pencarum mengalami hilang upaya sementara atau kekal, selain bayaran faedah kepada orang tanggungan sekiranya berlaku kematian.

“Mengenai caruman yang telah dibayar sejak skim diperkenalkan pada 1 Jun lepas, pelaksanaan bagi tempoh itu dibuat mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) manakala pilihan untuk tidak mencarum hanya terpakai mulai Julai,” katanya.

Setakat semalam, sebanyak 207,000 majikan dan 2.27 juta pekerja telah didaftarkan di bawah skim itu, termasuk 1.92 juta pekerja tempatan dan 307,000 pekerja asing.

Mohammed Azman berkata jumlah caruman terkumpul mencecah RM58 juta manakala 1,056 tuntutan telah diterima, dengan purata 27 tuntutan sehari dan hampir RM2 juta faedah telah disalurkan.

“PERKESO akan memantau trend caruman serta tuntutan dalam beberapa bulan akan datang dan menjalankan kajian aktuari bagi menilai kemampanan skim itu selepas caruman bagi pekerja tempatan dijadikan sukarela,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan mengumumkan bahawa caruman LINDUNG 24 Jam tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan dan dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta, manakala caruman bagi pekerja asing kekal mandatori.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Azman berkata setakat ini belum ada pegawai PERKESO yang dikenal pasti terlibat atau bersubahat dalam kes tuntutan palsu Program Daya Kerjaya 2.0.

Beliau berkata pegawai yang memproses tuntutan berkenaan berbuat demikian berdasarkan dokumen yang ketika itu dipercayai sah, namun PERKESO tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati terdapat penglibatan anggota dalaman.

Mohammed Azman berkata PERKESO turut menyambut baik saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menambah baik prosedur serta menutup ruang manipulasi dalam proses tuntutan. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author