Connect with us

Terkini

Kubu kuat DAP di Stulang, Perling berdepan isyarat membimbangkan

Published

on

Foto: Dari kiri Emma, Sharon, Sunny, dan David Wong.

JOHOR BAHRU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tinjauan bersama pengundi Cina di sekitar Stulang dan Perling menunjukkan isu ekonomi, kemudahan awam, parkir, cukai dan rekod khidmat wakil rakyat menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan undi.

Kedua-dua kawasan bandar itu sebelum ini dikaitkan dengan pengaruh DAP, dengan Stulang dan Perling masing-masing mempunyai penyandang daripada PH-DAP berdasarkan keputusan PRN Johor 2022.

Di Perling, sebahagian pengundi menyatakan mereka masih menilai prestasi wakil rakyat berdasarkan sejauh mana dasar atau khidmat yang diberikan benar-benar membantu masyarakat.

Emma, 41, seorang peniaga, berkata perkara paling penting baginya ialah sama ada sesebuah parti atau wakil rakyat mampu membawa manfaat kepada orang ramai.

“Yang paling saya pentingkan adalah adakah dia (wakil rakyat) membantu masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi DAP di kawasan itu, Emma berkata perubahan tidak boleh berlaku secara mendadak kerana banyak masalah sudah berakar sejak sekian lama.

“Sebenarnya, saya nampak ada banyak aspek yang ada kemajuan. Tetapi, perubahan tidak akan berlaku sekelip mata. Benda ini telah berakar sejak puluhan tahun. Sebenarnya, kamu perlu beberapa tahun untuk mengubah semuanya. Ia tidak semudah itu. Manusia nak berubah pun bukan sehari dua. Saya rasa perlu memberi sedikit masa.

“Ada perkara yang mereka mahu lakukan tetapi mereka tidak boleh terus lakukan, dia boleh buat terus. Dia perlu dapat kelulusan. Kita cakap senang. Tapi mereka ada kesukaran mereka,” katanya.

Emma turut membangkitkan isu parkir yang sesak di kawasan tersebut, khususnya melibatkan pekerja yang berulang-alik ke Singapura.

“Di kawasan ini, ada ramai pekerja Singapura. Di kawasan ini, kawasan pasar ini. Bukan kawasan ini sahaja. Mana-mana kawasan yang ada kemudahan bas ke Singapura, tempat parkir akan penuh pagi-pagi.

“Jadi mereka letak kenderaan di sini dan pergi ke Singapura. Mereka letak kenderaan seharian,” katanya.

Namun, tidak semua pengundi berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat sedia ada. Chan, 70, seorang penjaja, memberi jawapan ringkas apabila ditanya kayu ukur undinya.

“Siapa bagi saya duit, saya undi,” katanya.

Ditanya mengenai kawasan itu yang diperintah DAP, Chan berkata, “Jarang mereka datang.”

Apabila ditanya pembangunan yang dilihatnya, beliau menjawab, “Tak nampak.”

Chan turut berharap beban cukai tidak terlalu tinggi.

“Jangan kenakan banyak cukai kepada kami. Kuala Lumpur baru RM 300. Sini RM 600-700,” katanya.

Seorang penduduk berkata sokongan keluarganya terhadap DAP sudah lama terbentuk.

“Dari bapa saya ajar (undi DAP), jangan undi yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi penduduk Perling menyatakan rasa kecewa terhadap keadaan politik dan prestasi pihak yang memerintah.

“Undi tak undi sama saja,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang DAP sudah lakukan di kawasan itu, penduduk tersebut menjawab, “Tidak puas hati.”

Bagi Tan, 82, seorang peniaga bunga, pilihannya lebih jelas apabila ditanya perkara paling penting dalam PRN kali ini.

“BN lah,” katanya.

Tan berkata isu utama yang diharapkan dapat diberi perhatian sekiranya kerajaan negeri baharu dibentuk ialah “Masalah parkir.”

Sementara itu, SK Sim, 70, seorang pengusaha bengkel, memberikan penilaian lebih positif terhadap keadaan Perling. Menurutnya, beberapa aspek seperti keselamatan, jalan dan lampu isyarat sudah bertambah baik.

“Bagus saya duduk sini. Tiada apa-apa aduan. Yang kurangnya di sini dari segi perbelanjaan adalah restoran besar. Orang Perling yang nak makan mewah sikit, mereka keluar dari Perling.

“Dari segi keselamatan, dulu tak berapa baik, sekarang sudah bertambah baik. Kondisi jalan, lampu isyarat, trafik semua bagus,” katanya.

Seorang pesara yang juga penduduk Perling pula melihat keputusan pilihan raya tidak banyak mengubah kehidupan rakyat biasa.

“Siapa menang pun sama.

“Kita rakyat biasa, mereka kerajaan. Apa kita boleh buat?” katanya.

Wong, 83, seorang pesara, berkata pertimbangan undinya lebih tertumpu kepada calon atau pihak yang dianggap baik.

“Siapa baik, saya undi dia,” katanya.

Mengulas mengenai DAP yang memerintah sebelum ini, Wong berkata, “Baguslah. Mereka ada bantu orang.”

Bagi Xiao Di, 45, penjaga tokong, keputusan untuk keluar mengundi masih bergantung kepada kelapangan masa.

“Tengok ada masa tak. (Saya) nak kerja,” katanya.

Sunny, 43, seorang pengusaha bengkel, pula berkata beliau masih belum membuat keputusan muktamad.

“Tengok dulu nanti. Saya pun tidak berapa peka” katanya.

Dalam kalangan peniaga, ekonomi muncul sebagai antara isu paling kuat dibangkitkan. David Wong, 44, peniaga buah-buahan, berkata keadaan ekonomi memberi kesan langsung kepada jumlah pelanggan.

“Kalau ekonomi tak baik, kami akan kurang pelanggan. Pelanggan kurang, kami hidup susah.

“(Saya) harap mereka akan tunaikan janji dan menambahbaik kehidupan rakyat, ekonomi lebih baik,” katanya.

Sharon, 53, seorang guru, berkata beliau akan menilai calon berdasarkan rekod, integriti dan kemampuan menunaikan janji.

“Saya akan dengar perkongsiannya. Saya akan lihat apa yang dilakukan olehnya sebelum ini. Adakah dia amanah, melakukan apa yang dia janji?” katanya.

Bagi pengundi muda seperti Brandon, 22, seorang mekanik, pilihan undi masih belum jelas. “Sebenarnya, saya pun tak tau nak undi siapa,” katanya.

Seorang lagi peniaga buah-buahan, Wong, 42, pula membangkitkan kebimbangan mengenai kegiatan perniagaan tidak berlesen dan pusat hiburan yang didakwanya memberi kesan negatif kepada anak muda.

“Saya harap pasaran gelap dapat dikurangkan. Perniagaan yang tidak ada lesen. Tempat minum arak, karaoke, pub. Tempat-tempat ini merosakkan akal anak muda.

“Kalau ada parti politik yang boleh mengawalnya, itu yang terbaik. Tapi ia mustahil.

“Saya rasa siapa memegang kerusi itu pun akan (bersikap) kacang lupakan kulit,” katanya.

Secara keseluruhan, dapatan temu bual ini menunjukkan pengundi Cina di Stulang dan Perling tidak mempunyai satu kecenderungan tunggal. Ada yang masih melihat DAP atau PH sebagai pilihan berdasarkan rekod khidmat, namun terdapat juga pengundi yang kecewa, berkecuali atau mula menilai pilihan lain berdasarkan isu setempat.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author