Terkini
Kerajaan Persekutuan memang peneraju zon ekonomi khas Johor-Singapura, bukan modal politik – Tengku Zafrul
- Tengku Zafrul meminta semua pihak supaya tidak menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pentas drama politik semata-mata.
- “Kerajaan negeri memang ada peranan dan kami menghormati sumbangannya, tetapi jangan padam peranan utama kerajaan persekutuan hanya kerana pilihan raya”.
- “Jadi, jika anda ingin tahu sama ada (pelaksanaan) JS-SEZ perlahan atau tidak, jangan tengok dramanya. Lihat hasilnya. Kami fokus menyiapkan kerja”
PETALING JAYA – Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini menegaskan bahawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan inisiatif kerajaan persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan modal politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu hantaran video di media sosial, Tengku Zafrul meminta semua pihak supaya tidak menjadikan JS-SEZ sebagai pentas drama politik semata-mata. Menurutnya, kerajaan persekutuan telah banyak berusaha di sebalik inisiatif tersebut, termasuk mendapatkan persetujuan Singapura dan menarik pelaburan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta agensi-agensi berkaitan.
“Kerajaan negeri memang ada peranan dan kami menghormati sumbangannya, tetapi jangan padam peranan utama kerajaan persekutuan hanya kerana pilihan raya”. katanya.
Tengku Zafrul mendedahkan bahawa hampir RM77 bilion pelaburan telah diluluskan untuk JS-SEZ, dengan 57 peratus daripadanya sudah memasuki peringkat pelaksanaan. Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini adalah bukti bahawa JS-SEZ bukan sekadar cakap kosong.
“Jadi, jika anda ingin tahu sama ada (pelaksanaan) JS-SEZ perlahan atau tidak, jangan tengok dramanya. Lihat hasilnya. Kami fokus menyiapkan kerja” tambahnya pula.
Kenyataan Tengku Zafrul ini hadir selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebelum ini menuduh kerajaan persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran pelan induk JS-SEZ.
Onn Hafiz mendakwa pelan induk tersebut adalah dokumen kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Singapura untuk dilancarkan.
Bagaimanapun, pada 2 Julai lalu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasir, menjelaskan bahawa pembangunan JS-SEZ tidak pernah terhenti hanya kerana pelan induk belum dilancarkan, sambil merujuk pelbagai inisiatif yang telah dijalankan oleh kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengkritik Onn Hafiz pada 3 Julai lalu kerana menggunakan isu JS-SEZ sebagai bahan kempen PRN, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak cerdik”.
PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai ini menyaksikan isu JS-SEZ menjadi salah satu topik hangat perdebatan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan persekutuan pimpinan PH ingin menonjolkan peranan mereka dalam menarik pelaburan asing ke Johor, manakala BN di peringkat negeri mahu menunjukkan bahawa mereka juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negeri.
Tengku Zafrul, yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, sebelum ini pernah menegaskan bahawa semua pihak boleh ‘menuntut kredit’ atas kejayaan pelaksanaan JS-SEZ.
Namun, beliau menekankan bahawa pengiktirafan terhadap peranan utama kerajaan persekutuan tidak seharusnya dipadamkan begitu sahaja.
Tegasnya, “rakyat Johor perlu menilai prestasi JS-SEZ berdasarkan hasil nyata, bukannya retorik politik yang boleh mengelirukan.” – The Merdeka Times