Terkini
Tindakan Terhadap Media Bukan Bermotif Politik, Tetapi Terkait Isu 3R – PM Anwar
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa syarikat media bukanlah bertujuan mengekang kebebasan bersuara atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya tertumpu kepada kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja, serta perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
- “Umpamanya, tindakan terhadap Sin Chew itu dianggap besar di dunia media, kerana ia dianggap satu pelanggaran dari segi aspek kebebasan. Tetapi dalam soal bendera itu, ia diselesaikan dengan baik. Soal bendera negara, kita serius. Mungkin bagi negara lain kurang (serius).
- “Negara lain mungkin tidak berdepan isu seperti ini. Tetapi di negara kita, ada pihak yang mengambil gambar raja dan memaparkannya bersama imej babi. Bagi kita, itu adalah satu kesalahan besar,” katanya.
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terhadap beberapa syarikat media bukanlah bertujuan mengekang kebebasan bersuara atau perbezaan pandangan politik, sebaliknya tertumpu kepada kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja, serta perkara yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat mengenai faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang mencatatkan penurunan ke tangga ke-95 berbanding tangga ke-88 pada tahun lalu.
Anwar menjelaskan tindakan terhadap Sin Chew Daily berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang serta Sinar Harian berkaitan penyiaran biografi Ketua Polis Negara turut mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.
Katanya, walaupun tindakan tersebut mungkin dianggap besar di dunia media antarabangsa, ia dilakukan kerana prinsip negara.
“Umpamanya, tindakan terhadap Sin Chew itu dianggap besar di dunia media, kerana ia dianggap satu pelanggaran dari segi aspek kebebasan. Tetapi dalam soal bendera itu, ia diselesaikan dengan baik. Soal bendera negara, kita serius. Mungkin bagi negara lain kurang (serius),”
Beliau turut menjelaskan isu melibatkan Sinar Harian yang menyiarkan biografi Ketua Polis Negara dengan dikaitkan kepada parti politik:
“Ia diselesaikan dengan kompaun kecil dan bila tindakan diambil kepada media rasmi begitu, terus kita… indeks kita menjunam (jatuh).” katanya.
Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan bersedia meneliti dan meminda undang-undang media berkaitan isu 3R yang kini semakin membimbangkan.
Beliau memberi contoh terdapat pihak yang memuat naik kandungan menghina institusi diraja, termasuk memanipulasi gambar dengan imej yang bersifat menghina.
“Negara lain mungkin tidak berdepan isu seperti ini. Tetapi di negara kita, ada pihak yang mengambil gambar raja dan memaparkannya bersama imej babi. Bagi kita, itu adalah satu kesalahan besar,”
“Persoalannya, apakah kita mahu membiarkan fitnah, penghinaan dan perbuatan mengaibkan orang atas alasan perbezaan pandangan politik?, katanya.
Beliau menegaskan kerajaan terikat dengan pendirian yang dipersetujui bersama Majlis Raja-Raja, yang sentiasa meneliti laporan berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja serta kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Anwar turut menjelaskan bahawa tidak semua kandungan yang dipadamkan daripada platform media sosial adalah atas arahan kerajaan, sebaliknya ada yang dilakukan susulan aduan terus daripada orang ramai kepada syarikat pengendali platform.
“Mana-mana rakyat boleh berurusan secara langsung dengan platform seperti TikTok atau Facebook dan mereka mempunyai wewenang untuk memadamkan kandungan. Tidak semestinya kerajaan bersetuju dengan keputusan itu,” jelasnya.
Anwar menegaskan bahawa kandungan yang mengandungi fakta tidak tepat atau kritikan politik semata-mata tidak dikenakan tindakan. Sebaliknya, kerajaan lebih mengutamakan penjelasan kepada umum berbanding penguatkuasaan.
“Kerajaan telah menambah baik kerangka perundangan negara, termasuk menerusi pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang antara lain memastikan kenyataan berbentuk sindiran terhadap Perdana Menteri atau pemimpin tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah,” katanya. – The Merdeka Times