Connect with us

Terkini

Hamas bubar Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan Gaza

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Langkah ini diambil bagi memudahkan peralihan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Nasional untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan teknokratik yang disokong Amerika Syarikat.
  • Jawatankuasa teknokratik 15 ahli yang diketuai Ali Shaath menyatakan kesediaan penuh untuk mengambil alih pentadbiran Gaza “sebaik sahaja sumber dan keupayaan yang diperlukan tersedia”.
  • Namun, Jawatankuasa Teknokratik yang ditubuhkan pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang ditaja AS, masih belum dibenarkan masuk ke Gaza. Hamas menyatakan Israel menghalang kemasukan jawatankuasa tersebut.

GAZA – Hamas secara rasmi mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan di Gaza, sekaligus menamatkan pemerintahan langsung kumpulan itu selama hampir dua dekad di wilayah tersebut. 

Langkah ini diambil bagi memudahkan peralihan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Nasional untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan teknokratik yang disokong Amerika Syarikat.

Ketua Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan, Mohammed al-Farra, telah mengemukakan peletakan jawatannya secara rasmi. 

Beliau juga bertindak membubarkan jawatankuasa tersebut bagi melancarkan peralihan tanggungjawab pentadbiran dan kerajaan kepada NCAG. 

Keputusan ini diumumkan dalam sidang akhbar di Deir al-Balah, Gaza tengah, oleh Ismail Thawabta, Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan yang dikendalikan Hamas.

Bagi mengelakkan kelompongan pentadbiran, hanya kakitangan teknikal dan profesional akan kekal dalam sistem sedia ada. 

Mereka akan meneruskan tugas bagi memastikan perkhidmatan awam tidak tergendala. Badan kerajaan yang tinggal akan beroperasi di bawah nama “Pihak Berkuasa Sementara untuk Perkhidmatan Kerajaan” dan tertakluk kepada undang-undang serta peraturan Palestin yang berkuat kuasa.

Fasa peralihan ini akan dipimpin oleh Dr. Abdul Hadi al-Agha, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama dalam Jawatankuasa Susulan Kerja Kerajaan.

Jawatankuasa teknokratik 15 ahli yang diketuai Ali Shaath menyatakan kesediaan penuh untuk mengambil alih pentadbiran Gaza “sebaik sahaja sumber dan keupayaan yang diperlukan tersedia”. 

Shaath menekankan keperluan asas untuk kejayaan jawatankuasa tersebut, iaitu “satu pihak berkuasa tunggal, satu undang-undang dengan mandat yang jelas, dan satu angkatan bersenjata di bawah pihak berkuasa tunggal ini”.

Namun, Jawatankuasa Teknokratik yang ditubuhkan pada Januari lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang ditaja AS, masih belum dibenarkan masuk ke Gaza. Hamas menyatakan Israel menghalang kemasukan jawatankuasa tersebut.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, menyambut baik sebarang langkah yang menyumbang kepada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan menyokong usaha ke arah “pentadbiran Palestin yang bersatu” di bawah Pihak Berkuasa Palestin.

Sementara itu, keganasan masih berterusan di Gaza walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025. Pada hari Isnin sahaja, lima rakyat Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan orang yang dipindahkan dan kawasan kediaman di selatan Gaza dan Bandar Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan bahawa jumlah kematian sejak gencatan senjata telah mencecah 1,072 orang, dengan 3,463 kecederaan. Secara keseluruhan, sejak konflik bermula pada Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan 173,571 lagi cedera di Gaza.

Pengumuman ini merupakan perkembangan penting dalam landskap politik Gaza. Ia menunjukkan kesungguhan Hamas untuk melaksanakan perjanjian damai dan membuka laluan kepada pentadbiran baharu. 

Namun, pelaksanaannya masih bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk kerjasama Israel dan sokongan masyarakat antarabangsa.

Hamas menegaskan bahawa ia kekal komited untuk melaksanakan semua peruntukan perjanjian gencatan senjata sehingga pentadbiran Gaza dipindahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Nasional. 

Kumpulan itu juga menyatakan Israel cuba mencipta “kelompongan pentadbiran” di Gaza bagi menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author