Terkini
Imigresen Perlis tubuh Pasukan Petugas Khas pantau, kesan kehadiran etnik Rohingya
- Pengarah Imigresen negeri Mohammad A’sim Md Ali berkata pasukan berkenaan yang ditubuhkan di bawah Bahagian Penguatkuasaan bertujuan mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai kehadiran etnik itu di Perlis, selain antara langkah memperkukuh tindakan penguatkuasaan melalui pendekatan menyeluruh dan berfokus.
- Beliau berkata pihaknya sememangnya menerima maklumat dan aduan daripada orang awam dari semasa ke semasa berkaitan kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya di beberapa lokasi di negeri itu.
- Mohammad A’sim berkata setiap aduan akan disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
KANGAR — Jabatan Imigresen (JIM) Perlis menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi melakukan pemantauan, pengesanan serta verifikasi rekod kehadiran etnik Rohingya, kata Pengarah Imigresen negeri Mohammad A’sim Md Ali.
Beliau berkata pasukan berkenaan yang ditubuhkan di bawah Bahagian Penguatkuasaan bertujuan mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai kehadiran etnik itu di Perlis, selain antara langkah memperkukuh tindakan penguatkuasaan melalui pendekatan menyeluruh dan berfokus.
“Jabatan (JIM Perlis) berpandangan isu ini (kehadiran etnik Rohingya) perlu ditangani secara profesional, berhemah dan berasaskan fakta serta data yang sahih. Sebarang tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan selaras dengan Akta Imigresen 1959/63 serta arahan terkini yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 19 Jun lepas, media melaporkan kehadiran etnik Rohingya didakwa semakin bertambah di beberapa lokasi sekitar Perlis yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan.
Mohammad A sim berkata berdasarkan semakan awal, kebanyakan etnik itu yang dikenal pasti berada dalam komuniti setempat di negeri itu merupakan individu yang memiliki kad pendaftaran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Beliau berkata pihaknya sememangnya menerima maklumat dan aduan daripada orang awam dari semasa ke semasa berkaitan kehadiran warga asing termasuk etnik Rohingya di beberapa lokasi di negeri itu.
Mohammad A’sim berkata setiap aduan akan disiasat secara menyeluruh sebelum tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Aduan diterima lazimnya melibatkan isu keberadaan warga asing tanpa dokumen yang sah, aktiviti pekerjaan, penempatan serta aktiviti perniagaan yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran,” katanya.
Selain itu, katanya JIM Perlis turut menerima serahan 39 etnik Rohingya daripada jabatan dan agensi berkaitan bagi perkembangan terkini dengan hasil semakan mendapati kesemua individu itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan kini menjalani proses siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Mohammad A’sim berkata Bahagian Penguatkuasaan JIM Perlis melaksanakan 153 operasi penguatkuasaan yang melibatkan 34 aktiviti risikan dan pemantauan bagi tempoh Januari hingga Mei lepas.
Beliau berkata operasi itu merekodkan 118 tangkapan warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dengan kutipan kompaun berjumlah RM369,570.– BERNAMA