Terkini
Aktivis, bekas pelarian Rohingya dikecam kritik layanan Malaysia dalam ucapan di Australia
- Noor Azizah yang pernah menetap di Malaysia sebelum berhijrah dan menetap di Australia, menjadi perhatian selepas ucapannya pada majlis Marie Claire Women of the Year Awards tersebar di media sosial.
- “Anda mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk anda dan keluarga. Namun di Malaysia hari ini, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah,” katanya.
- Beliau dikritik kerana didakwa memberikan gambaran tidak seimbang dengan tidak menekankan Myanmar punca utama krisis Rohingya serta peranan Malaysia yang telah lama menjadi negara tuan rumah kepada pelarian, walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951.
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pelarian Rohingya yang kini menjadi aktivis menerima kritikan daripada pengguna media sosial Malaysia selepas kenyataannya mengenai layanan terhadap kanak-kanak Rohingya di Malaysia ketika menyampaikan ucapan penerimaan anugerah di Australia tular dalam talian.
Noor Azizah, yang pernah menetap di Malaysia sebelum berhijrah dan menetap di Australia, menjadi perhatian selepas ucapan penerimaannya pada majlis Marie Claire Women of the Year Awards tersebar di media sosial.
Dalam ucapannya, beliau membangkitkan isu melibatkan kanak-kanak Rohingya yang ditempatkan di pusat tahanan imigresen di Malaysia.
Walaupun ada pihak yang melihat kenyataannya sebagai seruan untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap pelarian, terdapat juga yang mengkritiknya kerana didakwa memberikan gambaran yang tidak seimbang dengan tidak menekankan bahawa Myanmar merupakan punca utama krisis Rohingya serta peranan Malaysia yang telah lama menjadi negara tuan rumah kepada pelarian.
Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, namun telah menerima dan menempatkan sejumlah besar pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar sejak bertahun-tahun lalu.
Ketika menerima Marie Claire Women of the Year 2025 Award dalam kategori “Voice of Now”, Noor berkongsi mengenai penderitaan yang dialami komuniti Rohingya.
“Dunia menggelarnya sebagai genosid Rohingya, tetapi bagi kami ia adalah kehidupan seharian. Bunyi tembakan menggantikan kicauan burung. Nama-nama dipadamkan secara senyap daripada senarai kewarganegaraan. Pengebumian senyap sebuah bangsa yang hampir tidak dikenali dunia,” katanya.
Beliau turut menyentuh keadaan yang dihadapi pelarian Rohingya di beberapa negara jiran.
“Anda mungkin mengenali Malaysia, Indonesia dan Thailand sebagai destinasi percutian untuk anda dan keluarga. Namun di Malaysia hari ini, lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen dan membesar di sebalik jeriji besi, bukannya di dalam bilik darjah,” katanya.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk yang kembali membincangkan latar belakang Noor sebagai pelarian Rohingya yang pernah tinggal di negara ini sebelum berpindah ke Australia.
Sebahagian rakyat Malaysia mempertahankan peranan negara dalam memberikan perlindungan kepada pelarian walaupun tidak mempunyai tanggungjawab undang-undang yang besar, manakala ada yang berpendapat bahawa tanggungjawab utama terhadap krisis tersebut seharusnya terus ditumpukan kepada Myanmar dan masyarakat antarabangsa. – The Merdeka Times