Connect with us

Terkini

BN solo di PRN: Jangan suka nikmati peruntukan Persekutuan tapi pinggir PH – PKR Johor

Published

on

  • Naib Pengerusi PKR Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse menegaskan, pentadbiran negeri tidak sewajarnya sekadar menikmati limpahan dasar, hasil pelaburan dan peruntukan besar  peringkat Persekutuan, namun pada masa sama terus meminggirkan peranan serta sumbangan politik gabungan itu.
  • “Kini, ada pihak yang secara terbuka melaungkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi, malah membungkus banyak hasil yang didorong oleh Kerajaan Persekutuan seolah-olah ia merupakan kejayaan mutlak kerajaan negeri semata-mata.
  • “Sikap sebegini bukan sahaja tidak adil, malah tidak menghormati usaha dan sumbangan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Johor dan pemimpin politik tertentu negeri itu diseru bersikap jujur apabila bercakap mengenai kemajuan negeri serta tidak memadamkan sumbangan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan politik. 

Naib Pengerusi PKR Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse menegaskan, pentadbiran negeri tidak sewajarnya sekadar menikmati limpahan dasar, hasil pelaburan dan peruntukan besar daripada peringkat Persekutuan, namun pada masa sama terus meminggirkan peranan serta sumbangan politik gabungan berkenaan.

Beliau menambah, rakyat Johor bijak serta mampu menilai secara matang berhubung perkara itu sambil menegaskan bahawa landskap politik sebenar bukanlah medan untuk berebut kredit sebaliknya adalah tentang menghormati fakta, mengakui jalinan kerjasama dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi. 

“Apabila melihat keadaan di Johor, kita menyaksikan pendekatan yang berbeza. Dahulu, PH sanggup bertolak ansur, bekerjasama dan mengutamakan kepentingan besar. 

“Tetapi kini, ada pihak yang secara terbuka melaungkan hasrat untuk bertanding di semua kerusi, malah membungkus banyak hasil yang didorong oleh Kerajaan Persekutuan seolah-olah ia merupakan kejayaan mutlak kerajaan negeri semata-mata. 

“Sikap sebegini bukan sahaja tidak adil, malah tidak menghormati usaha dan sumbangan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Barisan Nasional (BN) Johor mengesahkan akan bergerak secara solo dan tidak mengadakan kerjasama politik dengan PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, susulan itu pihaknya akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN itu.

Mengulas lanjut, Jimmy menambah, kejayaan Johor menarik pelaburan asing yang besar hari ini bukan hanya bergantung kepada usaha promosi pelaburan kerajaan negeri, tetapi turut melibatkan perancangan menyeluruh Kerajaan Persekutuan dari segi dasar fiskal, percukaian, dasar pelaburan, mekanisme kelulusan serta hala tuju ekonomi negara.

Sama ada melalui Kementerian Kewangan, agensi-agensi pelaburan berkaitan, mahupun sokongan dasar di peringkat Persekutuan, tambahnya, semuanya memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran pelaburan Johor.

Sebagai contoh, katanya, pembangunan industri pusat data, Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, projek menaik taraf Hospital Sultanah Aminah serta perancangan pengangkutan awam ART bernilai sehingga RM10 bilion, semuanya bukan projek yang mampu digerakkan oleh kerajaan negeri secara bersendirian. 

Menurutnya, banyak daripadanya melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan, dasar Persekutuan, penyelarasan antara kementerian dan agensi, malah rundingan serta kerjasama di peringkat antarabangsa.

“Oleh kerana hasil-hasil berkenaan tidak terpisah daripada peranan Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri tidak wajar menggambarkannya seolah-olah semua kejayaan tersebut adalah hasil usaha mereka semata-mata,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author

Teruskan Membaca