Terkini
Lebih 300 bangkai lembu ditemui bergelimpangan di tapak sampah di India
- Lebih 300 ekor lembu mati dilaporkan ditemui bergelimpangan di kawasan tapak pelupusan sampah milik pihak berkuasa tempatan berhampiran Jaisalmer, India, mencetuskan kemarahan ramai selepas video-video mengejutkan dari lokasi kejadian tular di media sosial.
- Ahli Parlimen Lok Sabha, Ummeda Ram Beniwal menyifatkan video itu sebagai “mengerikan, memalukan dan meruntun hati.”
- Beliau mendakwa banyak lembu dipercayai mati akibat kelaparan, kehausan serta memakan sampah dan plastik yang bertaburan di kawasan tersebut.
RAJASTHAN – Lebih 300 ekor lembu mati dilaporkan ditemui bergelimpangan di kawasan tapak pelupusan sampah milik pihak berkuasa tempatan berhampiran Jaisalmer, India, mencetuskan kemarahan ramai selepas video-video mengejutkan dari lokasi kejadian tular di media sosial.
Tapak pelupusan yang terletak di Jalan Ramgarh, kira-kira tujuh kilometer dari ibu pejabat daerah itu, menimbulkan persoalan serius mengenai perlindungan haiwan ternakan dan pengurusan sisa di kawasan berkenaan.
Mengulas insiden tersebut, Ahli Parlimen Lok Sabha, Ummeda Ram Beniwal yang dipetik Press Trust of Kashmir menyifatkan rakaman itu sebagai “mengerikan, memalukan dan meruntun hati.”
Beliau mendakwa banyak lembu dipercayai mati akibat kelaparan, kehausan serta memakan sampah dan plastik yang bertaburan di kawasan tersebut.
Beniwal turut mempersoalkan ke mana perginya dana yang diperuntukkan untuk perlindungan lembu dan pusat perlindungan haiwan ternakan, selain menuduh pihak berkuasa gagal menjaga kebajikan ternakan walaupun isu perlindungan lembu sering dijadikan agenda politik utama.
Beliau juga membangkitkan persoalan mengenai pengurusan Majlis Perbandaran Jaisalmer, termasuk bagaimana ratusan bangkai haiwan boleh dibiarkan terbuka di kawasan itu walaupun kontrak pelupusan bangkai haiwan dilaporkan telah diberikan.
Ahli Parlimen itu menuntut pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas serta penambahbaikan segera terhadap sistem kebajikan dan perlindungan ternakan di seluruh Rajasthan. – The Merdeka Times