Connect with us

Terkini

PETRONAS dedah realiti baharu minyak Malaysia: Rizab kini semakin sukar digali

Published

on

  • Syarikat petroleum negara, PETRONAS menjelaskan landskap geologi rizab minyak Malaysia telah berubah secara ketara berbanding beberapa dekad lalu yang banyak bergantung kepada lapangan minyak berskala besar di kawasan perairan cetek.
  • “Malaysia tidak kehabisan sumber. Tetapi geologi rizabnya telah berubah secara ketara. Lapangan besar di perairan cetek yang dahulu menjadi tulang belakang pengeluaran negara semakin berkurangan. Sumber yang tinggal lebih kecil, lebih bertaburan, dan semakin berada di perairan dalam. Mendapatkannya memerlukan teknologi dan kepakaran yang jauh lebih tinggi, dengan kos yang jauh lebih besar,” menurut PETRONAS menerusi satu hantaran di laman sosialnya.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak kehabisan sumber minyak mentah, namun realiti industri petroleum negara kini semakin mencabar apabila kebanyakan rizab baharu dikesan berada di kawasan laut dalam yang memerlukan teknologi lebih kompleks serta kos pembangunan jauh lebih tinggi.

Syarikat petroleum negara, PETRONAS menjelaskan bahawa landskap geologi rizab minyak Malaysia telah berubah secara ketara berbanding beberapa dekad lalu yang banyak bergantung kepada lapangan minyak berskala besar di kawasan perairan cetek.

“Malaysia tidak kehabisan sumber. Tetapi geologi rizabnya telah berubah secara ketara. Lapangan besar di perairan cetek yang dahulu menjadi tulang belakang pengeluaran negara semakin berkurangan.

“Sumber yang tinggal lebih kecil, lebih bertaburan, dan semakin berada di perairan dalam. Mendapatkannya memerlukan teknologi dan kepakaran yang jauh lebih tinggi, dengan kos yang jauh lebih besar.

“Inilah hakikat sektor huluan industri petroleum Malaysia hari ini,” menurut PETRONAS menerusi satu hantaran di laman sosialnya.

Menurut syarikat itu, penemuan sumber petroleum negara kini semakin sukar dibangunkan kerana kebanyakannya terletak di kawasan laut dalam dengan kedalaman antara 200 hingga 3,000 meter serta berada jauh daripada kemudahan infrastruktur sedia ada.

Situasi itu sekaligus meningkatkan tahap kerumitan teknikal selain melonjakkan kos operasi dan pembangunan lapangan minyak baharu.

PETRONAS turut mendedahkan bahawa kadar sewa harian sebuah pelantar gerudi di kawasan perairan cetek dianggarkan sekitar AS$110,000 sehari, manakala operasi di kawasan laut dalam boleh meningkat hampir tiga kali ganda sehingga mencecah AS$350,000 sehari.

Selain cabaran lokasi, industri huluan petroleum negara juga kini berdepan fenomena tekanan tinggi suhu tinggi (HPHT) yang memerlukan telaga minyak beroperasi dalam keadaan suhu dan tekanan melampau.

Keadaan itu menuntut penggunaan peralatan serta teknologi yang jauh lebih khusus dan canggih berbanding operasi petroleum konvensional sebelum ini.

PETRONAS turut menjelaskan bahawa kebanyakan lapangan baharu yang ditemui ketika ini mempunyai kandungan bendasing yang lebih tinggi, sekali gus menjadikan proses pengeluaran lebih rumit dan mahal.

Berdasarkan rekod profil penemuan sumber petroleum negara, tempoh antara 1980 hingga 1989 disifatkan sebagai era keemasan penemuan lapangan minyak berskala besar di Malaysia.

Bagaimanapun, trend itu mula berubah sepanjang 1990-an apabila penemuan baharu lebih tertumpu kepada lapangan bersaiz sederhana dan kecil sebelum industri memasuki era pembangunan laut dalam sekitar tahun 2000 hingga 2009.

Sejak 2010 sehingga kini, majoriti penemuan baharu pula semakin tertumpu di kawasan laut dalam serta lokasi yang lebih sukar diterokai.

Bagi mendepani perubahan tersebut, PETRONAS menegaskan bahawa sektor huluan petroleum negara kini memerlukan tahap kepakaran moden dan aplikasi teknologi termaju termasuk teknologi peningkatan perolehan minyak (IOR) serta penguasaan menyeluruh dalam teknologi laut dalam. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author