Terkini
Pakar Pertahan kuota 50 peratus Bumiputera selepas Guan Eng desak dasar ditarik balik
- Bercakap kepada The Merdeka Times, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, tanpa intervensi kuota yang lebih tinggi, mekanisme pasaran bebas cenderung mengekalkan status quo pemilikan tanah dan hartanah bernilai tinggi di kawasan strategik serta bandar kepada modal bukan Bumiputera atau asing yang mempunyai kecairan tunai lebih kukuh.
- “Tanpa syarat kuota yang ketat dalam pelupusan tanah-tanah premium, terdapat risiko peningkatan kadar gentrifikasi, di mana pemilikan tanah di kawasan bandar utama beralih sepenuhnya kepada korporat besar, menyebabkan entiti Bumiputera terpaksa beralih ke kawasan pinggiran yang mempunyai nilai ekonomi yang lebih rendah,” katanya ketika dihubungi.
KUALA LUMPUR – Kegagalan melaksanakan atau penangguhan dasar penetapan kuota ekuiti Bumiputera sebanyak 50 peratus dalam pelupusan hartanah bernilai tinggi dikhuatiri akan melebarkan lagi jurang pemilikan aset antara kaum di negara ini.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, tanpa intervensi kuota yang lebih tinggi, mekanisme pasaran bebas cenderung mengekalkan status quo pemilikan tanah dan hartanah bernilai tinggi di kawasan strategik serta bandar kepada modal bukan Bumiputera atau asing yang mempunyai kecairan tunai lebih kukuh.
Menurut beliau, implikasi daripada sudut pandang ekonomi agihan kekayaan tersebut boleh melambatkan sasaran jangka panjang Dasar Ekonomi Digital mahupun kerangka Ekonomi Madani dalam merapatkan jurang kekayaan antara kaum.
“Jika pegangan Bumiputera kekal rendah semasa proses pelupusan atau pembangunan semula, limpahan kekayaan daripada rantaian nilai pembangunan hartanah tidak dapat dinikmati secara optimum oleh komuniti Bumiputera.
“Tanpa syarat kuota yang ketat dalam pelupusan tanah-tanah premium, terdapat risiko peningkatan kadar gentrifikasi, di mana pemilikan tanah di kawasan bandar utama beralih sepenuhnya kepada korporat besar, menyebabkan entiti Bumiputera terpaksa beralih ke kawasan pinggiran yang mempunyai nilai ekonomi yang lebih rendah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Menurut Penasihat DAP itu, peningkatan syarat daripada 30 peratus kepada 50 peratus dilihat sebagai satu perubahan dasar yang perlu diteliti semula.
Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membatalkan peningkatan syarat tersebut kerana dikhuatiri boleh memberi kesan kepada ekosistem pelaburan serta amalan urus niaga hartanah berskala besar di negara ini.
Mengulas lanjut, Baharom turut menarik perhatian mengenai impak ke atas agenda kewangan sosial melibatkan pembangunan institusi Bumiputera seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Yayasan Pelaburan Bumiputera atau institusi Wakaf.
Beliau menjelaskan sekiranya pihak swasta tidak diwajibkan memenuhi kuota 50 peratus, tanggungjawab untuk mengekalkan atau meningkatkan pegangan aset Bumiputera akan jatuh sepenuhnya kepada agensi kerajaan atau dana berkaitan kerajaan (GLIC/GLC), sekali gus memberi tekanan tambahan ke atas dana awam kerana memerlukan peruntukan fiskal yang lebih besar daripada kerajaan untuk membeli atau membangunkan tanah bagi pihak Bumiputera.
Merumuskan situasi tersebut, Baharom berpendapat, impak tidak melaksanakan dasar itu akan mewujudkan satu bentuk ‘trade-off’ klasik dalam ekonomi pembangunan.
“Jika dilaksanakan, ia akan memacu agenda keadilan distributif dan pemilikan aset jangka panjang, namun berisiko memperlahankan momentum pasaran jika modal Bumiputera tempatan tidak bersedia untuk menyerap pegangan 50 peratus tersebut.
“Sebaliknya, jika tidak dilaksanakan, ia mengekalkan kepantasan pertumbuhan pasaran dan menarik modal, tetapi melebarkan lagi jurang pemilikan relatif aset tidak alih antara kaum di Malaysia,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, dasar terbaik dalam aspek berkenaan biasanya berada di tengah iaitu melindungi kepentingan Bumiputera tetapi dalam masa sama memastikan Malaysia kekal kompetitif dan menarik kepada pelabur.
Isu sebenar tambahnya, bukan semata-mata mengenai angka 30 peratus atau 50 peratus, tetapi sama ada dasar itu benar-benar membantu majoriti Bumiputera biasa atau hanya segelintir elit korporat serta keberkesanannya dalam meningkatkan kapasiti ekonomi sebenar merangkumi kemahiran, daya saing, dan pemilikan berkualiti.
“Perdebatan ini sentiasa sensitif di Malaysia kerana ia bukan sekadar isu ekonomi, sebaliknya turut melibatkan sejarah, identiti nasional dan agihan kekayaan antara kaum,” katanya. – The Merdeka Times