Terkini
Isu Rumah Ibadat Bukan Islam: Selangor janji semak semula garis panduan
- Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, semakan semula garis panduan itu akan dijalankan oleh kerajaan negeri dengan mengadakan rundingan bersama persatuan-persatuan agama dalam satu mesyuarat pada awal bulan depan.
- Penjelasan ini dibuat bagi menjawab kebimbangan pelbagai pihak baru-baru ini berhubung proses kelulusan permohonan masa hadapan bagi rumah ibadat bukan Islam terhadap beberapa fasal dalam garis panduan tersebut iaitu pada Perenggan 6 di bawah ‘KM 4-3 Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) yang menyatakan bahawa ‘penempatan di dalam kawasan yang ditetapkan sebagai zon komersial adalah tidak dibenarkan’.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa garis panduan berhubung penempatan rumah ibadat bukan Islam di lot kedai komersial yang dikeluarkan oleh PLANMalaysia Selangor masih belum dilaksanakan atau dikuatkuasakan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, semakan semula garis panduan itu akan dijalankan oleh kerajaan negeri dengan mengadakan rundingan bersama persatuan-persatuan agama dalam satu mesyuarat pada awal bulan depan.
“Tiada sebarang tindakan penguatkuasaan akan diambil sepanjang semakan ini sedang berjalan.
“Kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan penyelarasan pentadbiran dan teknikal ini melalui dialog yang membina, bagi memastikan Selangor kekal sebagai sebuah negeri yang progresif, adil, dan inklusif untuk semua,” katanya yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Hal Ehwal Bukan Islam (LIMAS) dalam satu kenyataan.
Penjelasan ini dibuat bagi menjawab kebimbangan pelbagai pihak baru-baru ini berhubung proses kelulusan permohonan masa hadapan bagi rumah ibadat bukan Islam di premis berkenaan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menyatakan kebimbangannya terhadap beberapa fasal dalam garis panduan tersebut iaitu pada Perenggan 6 di bawah ‘KM 4-3 Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) yang menyatakan bahawa ‘penempatan di dalam kawasan yang ditetapkan sebagai zon komersial adalah tidak dibenarkan’.
Selain itu, katanya, Perenggan 7 pula menyatakan bahawa ‘penukaran bangunan sedia ada kepada kegunaan RISI adalah tidak dibenarkan’.
Jelas Chean Chung, garis panduan tersebut boleh memberi implikasi yang mendalam terhadap amalan aktiviti keagamaan semasa di seluruh Selangor, termasuk di Petaling Jaya.Beliau seterusnya menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk menangguhkan pelaksanaan garis panduan ini dan pihak berkuasa sewajarnya memberikan penjelasan yang jelas kepada orang awam mengenai matlamat, pelaksanaan, serta implikasinya dan melakukan semakan semula secara menyeluruh jika perlu. – The Merdeka Times