Connect with us

Terkini

Wabak Ebola Congo semakin kritikal, Negara jiran mula sekat perjalanan

Published

on

  • Laporan yang diterbitkan oleh Kementerian Komunikasi negara itu menunjukkan bahawa setakat 23 Mei, virus berkenaan telah menjejaskan 11 zon kesihatan di Congo sejak mula dikesan pada 15 Mei di wilayah Ituri, dengan lebih 900 kes disyaki direkodkan.
  • Epidemik Ebola dilaporkan kekal aktif di tiga wilayah, merangkumi Ituri, Kivu Utara, dan Kivu Selatan.
  • WHO telah menaikkan tahap amaran kepada ‘sangat tinggi,’ manakala beberapa negara jiran Congo mula mempertingkatkan langkah pencegahan bagi menyekat rantaian virus berkenaan, termasuk mengenakan sekatan perjalanan dari Congo.

CONGO – Jumlah kes disahkan bagi penyakit virus Ebola telah melepasi angka 100 susulan lonjakan jangkitan dalam wabak semasa di Republik Demokratik Congo, menurut laporan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Laporan yang diterbitkan oleh Kementerian Komunikasi negara itu menunjukkan bahawa setakat 23 Mei, virus berkenaan telah menjejaskan 11 zon kesihatan di Congo sejak mula dikesan pada 15 Mei di wilayah Ituri, dengan lebih 900 kes disyaki direkodkan.

Memetik TRT World, epidemik Ebola dilaporkan kekal aktif di tiga wilayah, merangkumi Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.

“Pihak berkuasa kesihatan terus mempergiat aktiviti pengawasan, saringan, dan kesedaran di kawasan yang terjejas. Kewaspadaan serta kepatuhan kepada langkah pencegahan kekal kritikal,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya tujuh kematian telah disahkan di Congo, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, tiga kes baharu diumumkan di Uganda pada Sabtu lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan sejak penularan wabak semasa meningkat kepada lima kes, kata Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

Susulan perkembangan itu, pihak berkuasa Congo bertindak menggantung aktiviti sosial di Ituri yang menjadi pusat wabak tersebut, termasuk penganjuran acara sukan, bagi mengekang penularan Ebola.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), sebanyak 10 negara kini berdepan risiko penularan wabak Ebola, termasuk Rwanda, Kenya, Tanzania, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ethiopia, Sudan Selatan dan Zambia.

Rentetan itu, WHO telah menaikkan tahap amaran kepada ‘sangat tinggi,’ manakala beberapa negara jiran Congo mula mempertingkatkan langkah pencegahan bagi menyekat rantaian virus berkenaan, termasuk mengenakan sekatan perjalanan dari Congo. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author