Terkini
PRN Negeri Sembilan: Penganalisis terkejut DAP ‘overconfident’ ketika PH bergelora
- Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke sebelum ini yang menegaskan bahawa gabungan itu mempunyai keupayaan dan kekuatan politik sendiri di Negeri Sembilan untuk menghadapi PRN secara solo tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak lain.
- “Saya terkejut kerana PH terlalu ‘over confident’ dengan kekuatannya sedangkan parti-parti komponen sendiri sedang menghadapi masalah dalaman yang serius iaitu DAP terpecah kepada dua kumpulan iaitu Anthony Loke dan Lim Guan Eng.
- “Manakala PKR juga sedang berdepan kekalutan dalaman akibat tindakan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar parti oleh Rafizi dan penyokongnya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Penganalisis politik melahirkan rasa terkejut dengan tahap keyakinan tinggi yang disuarakan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ketika parti-parti komponen gabungan itu didakwa sedang bergelut dengan krisis dalaman yang serius.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakob berkata, beliau terkejut kerana PH dilihat terlalu yakin dengan kekuatannya sedangkan parti-parti komponen sendiri sedang menghadapi masalah dalaman.
Malah, jika PRN diadakan di Negeri Sembilan selepas Hari Raya Aidiladha, beliau meramalkan bahawa peluang PH untuk menerajui semula kerajaan negeri adalah amat sukar.
“Saya terkejut kerana PH terlalu ‘over confident’ dengan kekuatannya sedangkan parti-parti komponen sendiri sedang menghadapi masalah dalaman yang serius iaitu DAP terpecah kepada dua kumpulan iaitu Anthony Loke dan Lim Guan Eng malah telah menjadi rahsia awam yang dibongkarkan sekali lagi oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dalam ‘podcast’ beliau.
“Manakala PKR juga sedang berdepan kekalutan dalaman akibat tindakan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen dan keluar parti oleh Rafizi dan penyokongnya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Beliau demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke sebelum ini yang menegaskan bahawa gabungan itu mempunyai keupayaan dan kekuatan politik sendiri di Negeri Sembilan untuk menghadapi PRN secara solo tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak lain, berdasarkan rekod bertahan ketika Langkah Sheraton dan pandemik COVID-19.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berpendapat, kecenderungan arah undi kaum Cina ketika ini agak tidak stabil malah terdapat kebarangkalian jumlah besar pengundi bukan Melayu tidak akan keluar mengundi jika PRN Negeri Sembilan diadakan.
Faktor ini tambahnya, didorong oleh impak ekonomi semasa yang tidak menyebelahi kaum Cina yang majoritinya bergantung kepada lingkungan perniagaan selain kompromi politik antara DAP dan UMNO yang masih belum dapat diterima sepenuhnya sehingga hari ini.
Tambah beliau, kemunculan kuasa ketiga (third force) iaitu parti BERSAMA turut dilihat boleh menggugat pengaruh undi muda serta pengundi atas pagar di negeri berkenaan. – The Merdeka Times