Terkini
Lim Guan Eng desak Anwar tarik balik kuota ekuiti Bumiputera 50 peratus
- Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng gesa peningkatan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diteliti semula.
- “Dasar-dasar di dalam Garis Panduan Perolehan Hartanah (PAG) ini telah dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu tanpa sebarang pindaan. Peningkatan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 kepada 50 peratus oleh kerajaan sedia ada bukan sahaja mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan penyokong asas PH.
- “Malah, ia menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan ini mungkin akan melakukan perkara yang sama terhadap instrumen dasar dan pengaturan pentadbiran yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
KUALA LUMPUR – Peningkatan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi pelupusan hartanah bernilai melebihi RM20 juta oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diteliti semula.
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan pengekalan status quo kuota etnik 30 peratus dalam dasar kerajaan sebagai asas persefahaman Pakatan Harapan (PH) untuk memupuk keharmonian nasional, selain membolehkan gabungan itu menyediakan peluang yang saksama kepada seluruh rakyat.
Menurutnya, atas sebab ini, kerangka kerja terbaharu bagi Garis Panduan Perolehan Hartanah (PAG) Kementerian Ekonomi yang berkuat kuasa pada 18 November 2025 adalah amat mengecewakan serta bercanggah dengan pendekatan PH untuk mengekalkan status quo.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Penasihat DAP itu menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik peningkatan ekuiti Bumiputera itu.
“Dasar-dasar di dalam PAG ini telah dilaksanakan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu tanpa sebarang pindaan.
“Peningkatan pegangan ekuiti Bumiputera daripada 30 kepada 50 peratus oleh kerajaan sedia ada bukan sahaja mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan penyokong asas PH.“Malah, ia menimbulkan kebimbangan bahawa kerajaan ini mungkin akan melakukan perkara yang sama terhadap instrumen dasar dan pengaturan pentadbiran yang lain,” katanya dalam satu kenyataan. – The Merdeka Times