Terkini
Sekatan MyKhas: Belum ada respon ICU JPM, masa suntuk salur bantuan Raya Korban – Wong Chen
- Sekatan tersebut secara langsung telah menjejaskan operasi harian pejabatnya dalam menguruskan pelbagai program kebajikan serta peruntukan kritikal untuk masyarakat setempat.
- Menurut beliau, pihaknya kini sedang kesuntukan masa dalam memproses bantuan kebajikan untuk golongan miskin, menyalurkan dana sumbangan bagi sambutan Hari Raya Korban, dan menguruskan peruntukan bagi tujuan pembaikan beberapa buah sekolah di parlimen berkenaan.
- “Memang, kita sedang proses kebajikan untuk orang susah, proses dana sumbangan Raya Korban dan juga untuk pembaikian sekolah sekolah di Parlimen Subang,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri susulan isu sekatan akses pejabat parlimennya kepada Portal MyKhas.
Bercakap kepada The Merdeka Times, beliau berkata, sekatan tersebut secara langsung telah menjejaskan operasi harian pejabatnya dalam menguruskan pelbagai program kebajikan serta peruntukan kritikal untuk masyarakat setempat.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang kesuntukan masa dalam memproses bantuan kebajikan untuk golongan miskin, menyalurkan dana sumbangan bagi sambutan Hari Raya Korban dan menguruskan peruntukan bagi tujuan pembaikan beberapa buah sekolah di parlimen berkenaan.
“Memang, kita sedang proses kebajikan untuk orang susah, proses dana sumbangan Raya Korban dan juga untuk pembaikan sekolah sekolah di Parlimen Subang,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Hari ini, Wong Chen telah mendesak JPM memulihkan akses pejabat parlimennya kepada Portal MyKhas dengan serta-merta selain memberikan penjelasan bertulis yang rasmi berhubung sekatan pentadbiran tersebut dengan seberapa segera yang mungkin.
Beliau menegaskan, tindakan menyekat portal kritikal itu secara mengejut dan tanpa sebarang notis bertulis telah mengganggu pengurusan dana kebajikan rakyat serta peruntukan sekolah di kawasan berkenaan.
Wong Chen memaklumkan gangguan tersebut mula disedari pada Rabu lalu ketika pegawainya cuba memuat naik permohonan dana Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi beberapa buah sekolah di Subang.
Dalam pada itu, Wong Chen turut menegaskan kepada The Merdeka Times bahawa gangguan terhadap akses Portal MyKhas tersebut memberi impak yang sangat besar kepada landskap sosial di kawasan tersebut.
Situasi tersebut tambahnya, menjadi lebih rumit memandangkan Parlimen Subang merupakan kawasan parlimen kedua terbesar di Malaysia dengan jumlah penduduk yang sangat padat, iaitu mencecah seramai 500,000 orang.
“Kawasan kita amat besar, kedua terbesar di Malaysia dengan penduduk 500,000,” katanya lagi.
The Merdeka Times sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan berhubung perkara tersebut. – The Merdeka Times