Terkini
Hantaran Rukun Negara: ‘Saya tulis sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak’ – Tony Pua
- Ketika memberi keterangan kepada pihak polis, Tony Pua mengesahkan beliau telah menulisnya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak lain.
- “Saya mengesahkan bahawa saya menulis sendiri hantaran Facebook berkenaan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.\
- “Apabila ditanya mengenai niat hantaran tersebut, saya menjawab ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara. Apabila ditanya tentang maksudnya pula, saya menegaskan maksudnya adalah persis seperti apa yang telah tertulis,” katanya.
KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menegaskan bahawa hantaran beliau di media sosial berkaitan Rukun Negara sebelum ini adalah bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai prinsip kenegaraan tersebut.
Tony turut mengesahkan bahawa beliau telah menulisnya sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana pihak lain.
Penjelasan itu diberikan beliau ketika dipanggil pihak polis semalam bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
“Saya mengesahkan bahawa saya menulis sendiri hantaran Facebook berkenaan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
“Apabila ditanya mengenai niat hantaran tersebut, saya menjawab ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara. Apabila ditanya tentang maksudnya pula, saya menegaskan maksudnya adalah persis seperti apa yang telah tertulis,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Dalam satu hantaran di Facebook, Tony menyatakan bahawa beliau telah menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sekitar pukul 1.30 petang untuk mengatur pertemuan bagi merakam kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
Temujanji kemudiannya diadakan di Petaling Jaya pada jam 4.00 petang semalam, di mana beliau memberikan kerjasama penuh kepada dua pegawai penyiasat dalam proses rakaman keterangan yang mengambil masa kira-kira 40 minit.
Menurut beliau, tindakan memanggilnya itu adalah susulan daripada lebih 80 laporan polis yang dibuat terhadap dirinya di seluruh negara setakat ini, dengan laporan pertama di Sri Muda, Shah Alam.
Beliau turut menambah bahawa kandungan majoriti laporan polis yang dikemukakan terhadapnya adalah hampir serupa, manakala siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Mengenai sama ada pihak berkuasa akan mengambil sebarang tindakan lanjut, saya tunggu dan lihat. Berkenaan saksi lain yang mungkin diambil keterangan oleh mereka, saya tidak bertanya dan tidak mempunyai sebarang petunjuk,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Tony menerusi hantaran tersebut menyatakan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.
Katanya, rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco DAP, Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami dah menghayati makna Rukun Negara. – The Merdeka Times