Connect with us

Terkini

Portal MyKhas disekat, jejas kebajikan rakyat: JPM didesak pulihkan akses, beri penjelasan – Ahli Parlimen Subang

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
  • Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menegaskan, tindakan menyekat portal kritikal itu secara mengejut dan tanpa sebarang notis bertulis telah mengganggu pengurusan dana kebajikan rakyat serta peruntukan sekolah di kawasan berkenaan.
  • “Apabila menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan, pegawai saya telah dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses telah disekat atas arahan jelas daripada pihak atasan di Putrajaya,” katanya.

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendesak Jabatan Perdana Menteri (JPM) memulihkan akses pejabat parlimennya kepada Portal MyKhas dengan serta-merta selain memberikan penjelasan bertulis yang rasmi berhubung sekatan pentadbiran tersebut dengan seberapa segera yang mungkin. 

Beliau menegaskan, tindakan menyekat portal kritikal itu secara mengejut dan tanpa sebarang notis bertulis telah mengganggu pengurusan dana kebajikan rakyat serta peruntukan sekolah di kawasan berkenaan.

Wong Chen memaklumkan gangguan tersebut mula disedari pada Rabu lalu ketika pegawainya cuba memuat naik permohonan dana Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi beberapa buah sekolah di Subang. 

“Apabila menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan untuk mendapatkan penjelasan, pegawai saya telah dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses telah disekat atas arahan jelas daripada pihak atasan di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun surat rasmi dan email respons telah diserahkan terus kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM Selangor dan Putrajaya semalam, namun sehingga kini sekatan terbabit masih belum ditarik balik.

Apa yang menimbulkan persoalan, semakan silang mendapati akaun Portal MyKhas milik ahli parlimen penyokong kerajaan yang lain di Selangor termasuk wakil rakyat PKR yang menghadiri satu acara politik Ahad lalu, masih berfungsi sepenuhnya tanpa sebarang masalah. 

Wong Chen menegaskan bahawa insiden itu menimbulkan tanda tanya besar mengapa pejabat Parlimen Subang menjadi satu-satunya kawasan yang disasarkan. 

Sekiranya layanan terpilih sememangnya telah berlaku, beliau menyifatkan perkara itu sebagai amat dikesali dan bercanggah secara langsung dengan prinsip Madani mengenai pentadbiran yang adil, telus dan profesional.

Beliau turut menyifatkan tindakan pentadbiran secara terpilih ini sebagai manifestasi tadbir urus yang lemah. 

“Sekatan ini dianggap amat ironis memandangkan ICU JPM Selangor sebelum ini sering mengiktiraf pejabat beliau sebagai pejabat parlimen contoh atas rekod pengurusan kewangan yang bersih, teratur, dan telus selama lebih sedekad,” katanya.

Beliau menambah bahawa tindakan melengah-lengahkan pemulihan akses ini bukan sahaja menjejaskan kebajikan masyarakat Subang secara langsung, malah mencemarkan reputasi profesional kakitangan pentadbirannya secara tidak adil. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author