Terkini
‘Jangan remehkan kuasa Raja, titah diperuntuk undang-undang’ – Bekas ketua hakim syarie
- Peruntukan tersebut menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai hak bersuara yang sah untuk menyampaikan titah diraja selain Baginda boleh menghantar mesej kepada mana-mana Dewan Parlimen yang mana dewan berkenaan hendaklah mempertimbangkan mesej itu dengan seberapa segera.
- Bekas Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Prof Madya Datuk Muhamad Asri Abdullah menyifatkan tindakan secara terbuka enggan mengiktiraf titah Sultan sebagai satu bentuk sikap ekstrem yang boleh mencetuskan salah faham besar terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu.
KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kedudukan dan peranan ‘titah’ diraja di bawah Perkara 60 yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertitah kepada mana-mana satu atau kedua-dua Dewan Parlimen yang bersidang bersama-sama pada bila-bila masa.
Peruntukan tersebut menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai hak bersuara yang sah untuk menyampaikan titah diraja selain Baginda boleh menghantar mesej kepada mana-mana Dewan Parlimen yang mana dewan berkenaan hendaklah mempertimbangkan mesej itu dengan seberapa segera.
Bekas Ketua Hakim Syarie Perak dan Hakim Rayuan Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Prof Madya Datuk Muhamad Asri Abdullah menyuarakan perkara tersebut bagi memperbetul tanggapan salah segelintir warganegara yang ketika ini dikesan cuba meremehkan kuasa institusi beraja.
Beliau menyifatkan tindakan secara terbuka enggan mengiktiraf titah Sultan sebagai satu bentuk sikap ekstrem yang boleh mencetuskan salah faham besar terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Mereka menganggap walaupun negara ini tidak dinamakan negara republik namun kewujudan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan dan Raja sebagai Ketua Negeri adalah simbolik sahaja. Peranan mereka terhad kepada tugas-tugas diplomatik, kebajikan dan menjadi lambang perpaduan negara dan adat istiadat sahaja. Tiada bersangkut paut langsung dengan kuasa eksekutif.
“Pandangan tersebut mungkin natijah menyamakan Sistem Raja Berperlembagaan di England dan di Malaysia secara keseluruhan. Walaupun ia hampir sama tapi tidak serupa. ,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem pemerintahan di Malaysia merupakan adaptasi moden yang disesuaikan dengan nilai, budaya, dan sejarah tempatan di mana struktur kerajaan moden digabungkan bersama asas perundangan tradisional tempatan yang berakar umbi daripada undang-undang kesultanan Melayu lama.
Selain Perlembagaan Persekutuan, ujarnya, Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) turut menetapkan bahawa segala peruntukan, warta kerajaan atau enakmen negeri yang dikeluarkan menerusi frasa ‘dengan titah perintah’ adalah tertakluk kepada keseragaman undang-undang selagi ia tidak bercanggah dengan Hukum Syarak bagi enakmen pentadbiran agama Islam.
“Dalam tafsiran undang-undang di Malaysia, ‘titah’ merujuk kepada perintah rasmi, titah perintah, atau keputusan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja Melayu,” katanya.
Beliau menambah, kuasa eksekutif di Malaysia terletak pada Yang di-Pertuan Agong tetapi dilaksanakan oleh Jemaah Menteri atau Kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri dan sebagai Raja Berperlembagaan, Baginda bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, kecuali dalam beberapa perkara yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Manakala di peringkat negeri kuasa eksekutif negeri secara rasminya terletak pada Sultan atau Raja, namun pelaksanaannya dijalankan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau EXCO. Sultan bertindak sebagai Ketua Negeri dan menjalankan kuasa eksekutif di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri bersandarkan nasihat Menteri Besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, tindakan pihak-pihak berkepentingan yang mempunyai niat tertentu itu membuktikan betapa pentingnya kedaulatan diraja dipertahakan sebagai benteng utama kestabilan politik serta kunci mengekalkan keseimbangan antara badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.
“Justeru, setiap warganegara bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan institusi beraja bagi membendung unsur radikal yang mampu menggugat keamanan, sekali gus memastikan keharmonisan Malaysia terus terpelihara,” katanya. – The Merdeka Times