Terkini
Isu tukar status tanah Taman Segar: Tiada penglibatan menteri, wakil rakyat – Pejabat Pengarah Tanah & Galian
- Dalam satu kenyataan, PPTGWPKL menyangkal dakwaan sebuah poster yang tular di media sosial baru-baru ini, yang cuba mengaitkan penglibatan pihak pentadbiran kerajaan dan ahli politik dalam urusan penukaran status tanah berkenaan daripada pegangan bertempoh (leasehold) kepada pegangan selama-lamanya (freehold).
- PPTGWPKL menjelaskan bahawa proses penukaran status tanah tersebut merupakan satu prosedur perundangan dan teknikal sepenuhnya.
- “Segala kelulusan adalah tertakluk kepada keputusan badan kehakiman serta pelaksanaan teknikal oleh Pejabat Pengarah Tanah (PTG) berdasarkan peruntukan yang telah ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara,” kata kenyataan itu.
KUALA LUMPUR – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWPKL) menegaskan bahawa tiada sebarang penglibatan terus daripada mana-mana menteri mahupun wakil rakyat dalam menentukan kelulusan permohonan penukaran status pegangan tanah di Taman Segar, Cheras.
Dalam satu kenyataan, PPTGWPKL menyangkal dakwaan sebuah poster yang tular di media sosial baru-baru ini, yang cuba mengaitkan penglibatan pihak pentadbiran kerajaan dan ahli politik dalam urusan penukaran status tanah berkenaan daripada pegangan bertempoh (leasehold) kepada pegangan selama-lamanya (freehold).
PPTGWPKL menjelaskan bahawa proses penukaran status tanah tersebut merupakan satu prosedur perundangan dan teknikal sepenuhnya.
“Segala kelulusan adalah tertakluk kepada keputusan badan kehakiman serta pelaksanaan teknikal oleh Pejabat Pengarah Tanah (PTG) berdasarkan peruntukan yang telah ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara,” kata kenyataan itu.
Menurut agensi itu lagi, penukaran status hak milik di kawasan berkenaan bukanlah satu inisiatif politik, sebaliknya ia merupakan implikasi langsung daripada Perintah Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur yang diputuskan pada 19 Disember 2025.
Dalam penghakiman tersebut, mahkamah menetapkan bahawa tindakan mengenakan syarat pajakan semasa proses pembangunan asal pada tahun 1978 dahulu adalah bersifat ultra vires atau melampaui kuasa, dan dengan itu diisytiharkan tidak sah.
Keputusan mahkamah ini sebenarnya bersandarkan kepada kes dahuluan atau preseden undang-undang di Mahkamah Persekutuan, iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan v. Sri Lempah Enterprise [1978].
Melalui penghakiman oleh DYMM Raja Azlan Shah pada ketika itu, mahkamah telah memutuskan bahawa Pihak Berkuasa Negeri tidak boleh bertindak melampaui bidang kuasanya dengan mengarahkan pemilik tanah melepaskan hak freehold mereka untuk ditukarkan kepada leasehold tanpa sebarang asas undang-undang yang kukuh.
Di samping itu, PPTGWPKL mendedahkan bahawa proses penukaran ini berlaku atas inisiatif dan tindakan undang-undang oleh pemilik tanah itu sendiri melalui proses Saman Pemula.
Di bawah prosedur itu, tambahnya, beban pembuktian terletak sepenuhnya di bahu pemilik tanah untuk membuktikan melalui rekod sejarah geran asal bahawa tanah tersebut sememangnya berstatus freehold pada asalnya.
Sehingga 12 Mei 2026, agensi itu memaklumkan, dilaporkan sebanyak 226 hakmilik di Taman Segar telah mengemukakan Saman Pemula di mahkamah bagi tujuan yang sama.
“PPTGWPKL menegaskan komitmen mereka untuk sentiasa memudah cara urusan pentadbiran tanah berlandaskan lunas undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang naratif liar di media sosial yang boleh mengelirukan fungsi sebenar agensi kerajaan serta badan kehakiman negara,” katanya. – The Merdeka Times