Terkini
Pemimpin Sabah tegur pemaju ladang khinzir Tongod masih belum mula kerja
- Teguran tersebut disuarakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar selepas beliau mengadakan tinjauan fizikal ke tapak projek berkenaan sebelum bergerak pulang ke Kota Kinabalu.
- Menurut beliau, projek yang turut merangkumi komponen ternakan lembu dan tanaman rumput itu telah pun diluncurkan sejak tahun 2022.
- Beliau menjelaskan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Jabatan Haiwan) Sabah telah pun menyelesaikan tanggungjawab mereka bagi menyediakan kemudahan asas di kawasan terbabit.
TONGOD – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar menegur pihak pemaju projek ladang ternakan khinzir di daerah Tongod kerana didapati masih belum memulakan sebarang kerja-kerja pembinaan sehingga kini.
Teguran tersebut disuarakan Jamawi selepas beliau mengadakan tinjauan fizikal ke tapak projek berkenaan sebelum bergerak pulang ke Kota Kinabalu.
Menurut Jamawi, projek yang turut merangkumi komponen ternakan lembu dan tanaman rumput itu telah pun diluncurkan sejak tahun 2022 yang lalu.
Beliau menjelaskan bahawa pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Jabatan Haiwan) Sabah telah pun menyelesaikan tanggungjawab mereka bagi menyediakan kemudahan asas di kawasan terbabit.
“Hari ini, sebelum saya balik ke Kota Kinabalu, saya singgah di satu tapak projek di Daerah Tongod ini, iaitu Projek Agropolitan ataupun Projek Ternakan Khinzir Lembu, dan juga tanaman rumput di daerah Tongod.
“Projek ini telah pun diluncurkan pada tahun 2022 yang lalu. Dan apa yang kita lihat hari ini, pihak Jabatan Haiwan telah pun menyiapkan infrastruktur jalan raya masuk ke kawasan tapak projek ini. Tetapi, malangnya pihak pemaju yang telah dilantik sehingga ke hari ini belum memulakan sebarang kerja-kerja pembinaan di tapak projek ini,” katanya di laman Facebook.
Susulan kelewatan yang berlaku, Jamawi menegaskan satu tindakan rasmi akan diambil dengan memanggil pihak pemaju yang bertanggungjawab pada awal bulan depan bagi mendapatkan penjelasan penuh.
“Sebab itu, saya selaku Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah, dan juga pemimpin di kawasan ini, saya akan memanggil pihak pemaju ini pada 8 Jun ini untuk kita berbincang dan bermesyuarat untuk mengetahui apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh pemaju sehingga berlakunya kelewatan pelaksanaan projek ini,” jelas beliau.
Kata beliau, kelancaran projek berkenaan amat penting memandangkan ia merupakan sebuah projek berimpak tinggi yang mampu memberikan pulangan ekonomi yang besar kepada komuniti setempat.
“Kita mahu projek ini berjalan dengan lancar, berjalan seperti mana yang telah dijadualkan, kerana projek ini adalah merupakan satu projek yang berimpak tinggi yang boleh memberikan impak ekonomi khususnya kepada penduduk di Daerah Tongod ini,” tegasnya lagi. – The Merdeka Times