Terkini
Isu wartawan dikasari: KMJ lapor polis, tuntut penjelasan PH; Exco Johor sifatkan tindakan tidak wajar
- Kelab Media Johor (KMJ) memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang sekaligus demi melindungi kebajikan serta hak petugas media dalam menjalankan tugas mereka.
- Pada masa sama, KMJ turut meminta pihak penganjur dan pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan segera berhubung insiden yang berlaku itu.
- Dalam pada itu, Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, sebarang bentuk tindakan yang boleh menghalang tugas media, menimbulkan ketegangan, mahupun menjejaskan keselamatan petugas ketika menjalankan tanggungjawab profesional sesuatu tidak wajar berlaku.
KUALA LUMPUR– Kelab Media Johor (KMJ) telah membuat laporan polis susulan insiden kekasaran yang berlaku ke atas pengamal media pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 pada Ahad lalu.
KMJ dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang demi melindungi kebajikan serta hak petugas media dalam menjalankan tugas mereka.
Pada masa sama, KMJ turut meminta pihak penganjur dan pihak berkaitan untuk memberikan penjelasan segera berhubung insiden yang berlaku itu.
“KMJ berharap agar semua pihak dapat memastikan keselamatan serta kebebasan petugas media sentiasa dipelihara pada masa akan datang bagi menjamin keharmonian kerjasama antara pihak media dan penganjur program, “ katanya.
Mengulas lanjut, KMJ menambah, pihaknya memandang serius gangguan terhadap petugas media tersebut yang dipercayai melibatkan tindakan melampau oleh skuad keselamatan parti yang ditugaskan mengawal perjalanan konvensyen serta pergerakan orang kenamaan.
Menurutnya, pihak terbabit didapati bertindak menghalang tugas pengamal media tempatan termasuk dari Johor dan Kuala Lumpur menerusi tindakan agresif yang tidak sepatutnya berlaku.
Lebih mengecewakan, tambahnya, situasi tersebut turut melibatkan insiden tolak-menolak dan pertelingkahan mulut sewaktu petugas media sedang menjalankan tugasan hakiki bagi cubaan mendapatkan reaksi daripada pimpinan parti politik.
“Keadaan yang tidak terkawal itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa dan menghalang tugas media, namun secara langsung menjejaskan keselamatan petugas media yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional.
“KMJ melihat situasi ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan pihak penganjur sebelum ini telah memberi jaminan bahawa akses dan ruang sewajarnya akan disediakan bagi memastikan kelancaran urusan media, “ kata persatuan tersebut.
Sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, tegasnya, pengamal media sewajarnya diberikan kerjasama serta layanan profesional oleh semua pihak, termasuk pasukan keselamatan dan pengurusan acara.
Dalam pada itu, Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, sebarang bentuk tindakan yang boleh menghalang tugas media, menimbulkan ketegangan, mahupun menjejaskan keselamatan petugas ketika menjalankan tanggungjawab profesional adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku dalam mana-mana program atau acara.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor sentiasa memandang tinggi peranan pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Johor sejak sekian lama dikenali sebagai negeri yang menitikberatkan nilai adab, santun, hormat-menghormati serta kematangan dalam berurusan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Budaya agresif, provokatif atau tindakan melampau bukanlah cerminan kepada budaya Bangsa Johor yang sentiasa mengutamakan keharmonian, kebijaksanaan dan kesopanan dalam setiap tindakan,” katanya dalam satu kenyataan. – The Merdeka Times