Terkini
Pakar bimbang uncang nikotin sasar kanak-kanak, belia, tuntut peraturan ketat
- Pakar kesihatan komuniti, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh mengingatkan risiko bahaya sekiranya produk berkenaan digunakan kanak-kanak tanpa mengetahui kandungannya, serta menegaskan ia sepatutnya tidak dijual kepada golongan bawah umur.
- Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar pula memberi amaran mengenai impak sekiranya produk tersebut dibiarkan berleluasa di pasaran tanpa kawalan ketat.
- Menurut Zainal, penggunaan produk uncang nikotin bukan sahaja dikhuatiri akan meningkatkan kadar ketagihan nikotin khususnya dalam kalangan belia, malah mendedahkan mereka kepada risiko kesan kesihatan jangka panjang seperti masalah gusi dan penyakit kardiovaskular.
KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak digalakkan menggunakan uncang nikotin kerana kandungan nikotin di dalam produk berkenaan dibimbangi boleh menyebabkan masalah ketagihan, memberi kesan kepada jantung serta membawa implikasi sistemik kepada tubuh badan.
Bercakap kepada The Merdeka Times, pakar kesihatan komuniti dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh turut mengingatkan risiko bahaya sekiranya produk berkenaan digunakan oleh kanak-kanak tanpa mengetahui kandungannya, serta menegaskan ia sepatutnya tidak dijual kepada golongan bawah umur.
“Beberapa kajian juga menunjukkan terdapat kaitan penggunaan uncang nikotin dengan kemunculan kanser mulut, tekak, dan peti suara kerana terdapat kontaminan di dalam produk tersebut.
“Ini pernah dilaporkan berlaku di India akibat penggunaan uncang nikotin yang tidak dipasteurkan, yang mana ia boleh membawa beberapa kontaminan yang berbahaya kepada pengguna,” jelas beliau ketika dihubungi.
The Merdeka Times semalam melaporkan, amaran keras daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung peningkatan mendadak jualan produk uncang nikotin di peringkat global, yang kini dikesan menyasarkan golongan remaja dan belia secara agresif melalui pelbagai taktik pemasaran licik.
Menurut laporan global pertama WHO bertajuk ‘Exposing marketing tactics and strategies driving the growth of nicotine pouches’, pasaran produk tersebut telah pun mencecah nilai hampir AS$7 bilion (kira-kira RM31 bilion) pada tahun 2025.
Malah, jualan runcit produk berkenaan dilaporkan melonjak lebih 50 peratus dalam tempoh setahun dengan merekodkan edaran melebihi 23 bilion unit.
Mengulas lanjut mengenai impak uncang nikotin, Prof. Dr. Sharifa Ezat menyatakan bahawa walaupun produk ini hampir sama seperti terapi gantikan nikotin (NRT) yang diguna untuk terapi berhenti merokok tanpa melibatkan asap pembakaran, namun dos nikotin di dalam NRT secara umumnya adalah lebih rendah.
Oleh itu, beliau menekankan pentingnya untuk pengguna memastikan tahap kepekatan nikotin serta kehadiran sebarang bahan perisa (flavor) yang dimasukkan ke dalam produk uncang nikotin yang dijual.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa aspek kawalan bagi produk seumpama itu di Malaysia tertakluk di bawah perundangan sedia ada.
“Ia masih tertakluk kepada Akta 852 di bawah bidang kuasa (purview) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Akta 852 ini adalah dari tahun 2024 iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Control of Smoking Products for Public Health Act 2024),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian kepada hasil kajian di Sweden yang menunjukkan sisi berbeza, di mana produk uncang nikotin yang dipasteur digunakan sebagai alternatif untuk membantu perokok berhenti merokok, memandangkan rokok tembakau tradisional adalah jauh lebih berbahaya, dibakar, dan bersifat karsinogenik.
Senada dengan pandangan itu, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar turut memberi amaran mengenai impak sekiranya produk tersebut dibiarkan berleluasa di pasaran tanpa kawalan ketat.
Menurut Zainal, penggunaan produk uncang nikotin bukan sahaja dikhuatiri akan meningkatkan kadar ketagihan nikotin khususnya dalam kalangan belia, malah mendedahkan mereka kepada risiko kesan kesihatan jangka panjang seperti masalah gusi dan penyakit kardiovaskular.
“Keadaan ini juga boleh mendorong kepada normalisasi produk nikotin tanpa asap, sekali gus menggugat usaha sedia ada dalam kawalan tembakau di negara ini,” jelas beliau.
Bagi menangani isu tersebut, Datuk Dr. Zainal menggesa pihak berkuasa mengambil langkah pembendungan segera dengan menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Racun 1952 atau Akta Makanan 1983.
Langkah tersebut termasuk menyekat sebarang bentuk pengiklanan dan jualan secara dalam talian, serta mengenakan syarat lesen import yang ketat bagi kemasukan produk berkenaan.
Di samping itu, beliau turut menyeru anggota masyarakat agar meningkatkan kesedaran melalui program di peringkat sekolah dan komuniti, selain tampil melaporkan sebarang aktiviti penjualan haram kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – The Merdeka Times