Connect with us

Terkini

UEC: Sarjana khuatir wujud ‘two nations’, ganggu-gugat identiti kebangsaan

Published

on

Foto: Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican
  • “Dan bila wujud dua nation ini, maka sukar untuk negara maju ke depan dan membentuk satu identiti nasional. Identiti nasional telah diganggu-gugat,” kata Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, ISTAC, UIAM, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican.
  • Ahmad Murad turut menolak hujah daripada segelintir individu serta NGO Melayu yang menyokong UEC atas alasan dasar awam.

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan sistem pendidikan UEC dikhuatiri boleh mengabsahkan kewujudan dua bangsa (two nations) yang akan mengganggu-gugat identiti nasional serta menyukarkan negara untuk maju ke hadapan.

Kebimbangan itu disuarakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang melihat perkara berkenaan sebagai satu fenomena sosiologi dalam konteks masyarakat di negara ini.

“Maksudnya, kalau kita kata satu sistem pendidikan, dia akan membentuk satu negara bangsa. Jadi sekarang ni kita ada dua sistem pendidikan… satu sistem kebangsaan, satu sistem UEC. Dan pada prinsipnya ia akan menghasilkan ‘two nations’.

“Satu ‘nation’ kebangsaan, satu ‘nation’ yang bukan. Itu maksudnya. Dan bila wujud dua ini, maka sukar untuk negara maju ke depan dan membentuk satu identiti nasional. Identiti nasional telah diganggu-gugat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa salah satu perkara yang mencerminkan situasi berkenaan adalah tindakan silibus UEC yang didakwa tidak mengajar sejarah nasional sebaliknya sejarah Taiwan.

Tindakan itu, tegas beliau, mencerminkan satu sikap bukan nasional dan menunjukkan kurikulum serta mata pelajaran Sejarah Malaysia yang diajar di sekolah kebangsaan sedang dicabar.

“Saya khuatir pada masa depan, anak cucu saya akan mengambil UEC dan akan mengambil sejarah Taiwan dan sejarah lain. Jadi apa gunanya, sekarang ni kita mesti juga melihat sejarah Malaysia… mata pelajaran sejarah Malaysia juga dicabar,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Murad turut menolak hujah daripada segelintir individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang menyokong UEC atas alasan dasar awam.

“Ini bukan soal dasar awam. Kalau kita nak mengabsahkan, ini adalah soal dasar awam yang tidak baik. Dasar awam yang baik adalah untuk mengekalkan sistem kebangsaan, sistem pendidikan kebangsaan. Dasar awam yang baik adalah untuk menolak UEC.

“Jadi hujah-hujah yang menyokong UEC dalam konteks itu, perlu ditolak,” tegas beliau. 

Baru-baru ini dilaporkan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia membuka laluan lebih luas kepada pelajar lepasan sekolah tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam menerusi beberapa ketetapan baharu yang dipersetujui Jemaah Menteri.

Kementerian dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu dibuat bagi memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, adil dan berkualiti kepada semua pelajar berkelayakan tanpa menjejaskan standard akademik institusi pengajian tinggi negara. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author