Terkini
Isu kad klinik bahasa Cina: Hanya inisiatif komunikasi, kad asal kekal bahasa Melayu – Jabatan Kesihatan
- Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya memberitahu, pihak klinik menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa.
- Menurutnya, langkah itu bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi.
- Penjelasan tersebut dibuat susulan aduan tular di media sosial mengenai penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) menegaskan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam bahasa Melayu.
Bagaimanapun, jabatan itu dalam satu kenyataan memberitahu, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa.
Menurutnya, langkah ini bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi.
Penjelasan tersebut dibuat susulan aduan yang tular di media sosial mengenai penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak, baru-baru ini.
“Siasatan yang dijalankan mendapati insiden tersebut berlaku pada 18 Mei 2026, melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan. Walau bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut,” katanya.
Susulan insiden itu, jelasnya, pihak JKWPKL&P telah mengambil langkah penambahbaikan serta-merta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti.
Langkah itu juga ujarnya, bagi mengekalkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
“Pihak JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan menegaskan komitmen mereka untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat,” katanya.
Sebelum ini tular di media sosial klip video menunjukkan kad rekod pesakit dalam bahasa Cina yang mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet tentang keperluan ia ditulis dalam bahasa tersebut – The Merdeka Times