Terkini
WHO dedah taktik licik industri uncang nikotin perangkap generasi muda
- WHO mengeluarkan amaran keras berhubung peningkatan mendadak jualan produk uncang nikotin (nicotine pouches) di peringkat global, yang kini dikesan menyasarkan golongan remaja dan belia secara agresif melalui pelbagai taktik pemasaran licik.
- “Industri berkenaan turut dikesan menaja acara besar termasuk konsert, festival muzik, sukan permotoran Formula 1, selain menggunakan kempen penjenamaan gaya hidup aspirasi serta mesej yang menggalakkan penggunaannya secara senyap di kawasan larangan merokok termasuk institusi sekolah. Beberapa pembungkusan meniru gula-gula atau jenama gula-gula popular, meningkatkan risiko kepada kanak-kanak kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran keras berhubung peningkatan mendadak jualan produk uncang nikotin (nicotine pouches) di peringkat global, yang kini dikesan menyasarkan golongan remaja dan belia secara agresif melalui pelbagai taktik pemasaran licik.
Menurut laporan global pertama WHO bertajuk ‘Exposing marketing tactics and strategies driving the growth of nicotine pouches’, pasaran produk tersebut telah pun mencecah nilai hampir AS$7 bilion (kira-kira RM31 bilion) pada tahun 2025.
Malah, jualan runcit produk berkenaan dilaporkan melonjak lebih 50 peratus dalam tempoh setahun dengan merekodkan edaran melebihi 23 bilion unit.
“Antara strategi pemasaran agresif yang digariskan dalam laporan tersebut termasuklah reka bentuk pembungkusan yang anggun, moden, pengenalan variasi perasa seperti bubble gum dan gummy bears, serta promosi tegar di media sosial melalui pemasaran pempengaruh.
“Industri berkenaan turut dikesan menaja acara besar termasuk konsert, festival muzik, sukan permotoran Formula 1, selain menggunakan kempen penjenamaan gaya hidup aspirasi serta mesej yang menggalakkan penggunaannya secara senyap di kawasan larangan merokok termasuk institusi sekolah.
“Beberapa pembungkusan meniru gula-gula atau jenama gula-gula popular, meningkatkan risiko kepada kanak-kanak kecil,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih membimbangkan, jelasnya, sebahagian produk dipasarkan mengikut peringkat kekuatan daripada gred pemula, lanjutan, sehingga pakar dengan kandungan kepekatan nikotin yang tinggi mencecah sehingga 150 miligram.
Ketua Unit Inisiatif Bebas Tembakau WHO, Dr. Vinayak Prasad melahirkan kebimbangan ekoran pengawasan undang-undang di kebanyakan negara yang masih longgar dan gagal menyaingi kepantasan evolusi industri tersebut.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan uncang nikotin sedang merebak dengan amat pantas ketika kawal selia undang-undang masih bergelut untuk ‘mengejarnya’, sekali gus menuntut semua kerajaan di peringkat global untuk bertindak segera dengan melaksanakan langkah perlindungan yang kukuh berasaskan bukti saintifik.
“Produk uncang nikotin merupakan sachet kecil yang diletakkan di antara gusi dan bibir bagi melepaskan bahan ketagihan tersebut melalui lapisan mulut serta mengandungi bahan perasa, pemanis dan pelbagai sisa bahan kimia tambahan,” katanya.
WHO menjelaskan, nikotin adalah bahan yang mempunyai kadar ketagihan yang sangat tinggi serta amat berbahaya kepada kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa muda memandangkan otak mereka masih dalam fasa perkembangan.
Pendedahan awal nikotin bukan sahaja menjejaskan fungsi tumpuan dan pembelajaran, malah meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular serta rantaian kebergantungan jangka panjang terhadap produk tembakau lain, katanya.
Menurut Pengarah Jabatan Penentu Kesihatan, Promosi dan Pencegahan WHO, Dr. Etienne Krug, kelompongan regulasi menyebabkan produk berbahaya ini mudah lolos ke pasaran tanpa kawalan, sekali gus mendedahkan generasi muda kepada manipulasi industri.
Dr. Etienne menyifatkan produk-produk ini sengaja direkayasa untuk mencetuskan ketagihan bagi menormalkan semula penggunaan nikotin serta mengurangkan persepsi masyarakat terhadap risiko bahayanya.
Berdasarkan data WHO, sekitar 160 buah negara di dunia dikesan langsung tidak mempunyai undang-undang khusus bagi mengawal selia uncang nikotin, manakala hanya 16 buah negara yang mengharamkan penjualannya secara mutlak dan 32 buah negara lagi melaksanakannya dalam bentuk kawal selia terhad. – The Merdeka Times