Terkini
Kampung Asaon diroboh: Pemuda pengsan didakwa ditarik pihak berkuasa
- TawauKini melaporkan, pergelutan juga tercetus mengakibatkan seorang pemuda kampung pengsan kerana didakwa ditarik oleh pihak berkuasa.
- Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama penduduk Kampung Asaon, Matunggong, Sabah menyatakan bantahan terhadap arahan pengusiran dalam tempoh tujuh hari yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa daerah terhadap penduduk kampung tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan.
KUDAT – Tiga aktivis dan seorang penduduk Kampung Asaon, Matunggong, di sini dilaporkan ditahan susulan perhimpunan bantahan perobohan kampung itu yang diadakan pada hari ini.
TawauKini melaporkan, pergelutan yang tercetus mengakibatkan seorang pemuda kampung pengsan kerana didakwa ditarik oleh pihak berkuasa.
“Difahamkan sejak awal pagi penduduk kampung berhimpun untuk membantah perobohan kampung serta mahu berunding dengan pihak berkuasa,” lapornya.
Walau bagaimanapun, rundingan didakwa tidak berjaya sekaligus menyaksikan beberapa struktur rumah penduduk di kampung tersebut dibongkar dan dirobohkan menggunakan tukul dan mesin gergaji.
Dalam video berasingan di media sosial, Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama penduduk Kampung Asaon menyatakan bantahan terhadap arahan pengusiran dalam tempoh tujuh hari yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa daerah terhadap penduduk kampung tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar dan tidak berperikemanusiaan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, salah seorang wakil penduduk kampung telah berikrar untuk mempertahankan kampung berkenaan demi memelihara maruah dan kawasan perkuburan nenek moyang mereka yang telah wujud sejak sekian lama.
“Kami akan tetap pertahankan maruah nenek moyang kami kerana nenek moyang kami telah dikuburkan di tempat ini dan itu sudah berkurun lama. Jadi, kami tetap akan membela mereka walaupun mereka sudah tidak ada di sini lagi.
“Dan itulah semangat kenapa kami sanggup berjuang dan sanggup mati-matian dan kami pertahankan tempat ini kerana inilah yang mereka wariskan kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Presiden Suara Mahasiswa UMS, Fidaa’ Ahmad Fahmi, menegaskan bahawa tindakan mengusir komuniti setempat demi agenda pembangunan hanya akan menguntungkan golongan penguasa dan pihak tertentu dengan mengorbankan hak masyarakat miskin.
Suara Mahasiswa UMS seterusnya menggariskan lima perkara utama berhubung isu tanah di Kampung Asaon tersebut iaitu yang pertama, persatuan itu menganggap tempoh pengusiran daripada pihak berkuasa daerah Matunggong adalah tidak wajar, dengan memberikan tempoh masa tujuh hari sahaja kepada penduduk.
Seterusnya, persatuan itu membangkitkan dakwaan kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkenan iaitu Datuk Julita Majungkil yang dikatakan tidak memainkan peranan sebagai penghubung kepada masyarakat dan juga kepada pihak berkuasa.
“Ketiga, pihak berkuasa seharusnya menjalankan kajian terlebih dahulu dengan lebih telus dan adil terhadap isu pertindihan yang berlaku terhadap keaslian Kampung Asaon ini. Keempat, Suara Mahasiswa menuntut pihak berkuasa untuk memberikan tempoh masa yang relevan dalam mengkaji isu pertindihan tuntutan adat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Suara Mahasiswa mendakwa tindakan pihak berkuasa sebagai gagal mengutamakan hak asasi manusia dengan memperlakukan penduduk kampung sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Oleh hal yang demikian, Suara Mahasiswa mendefinisikan isu ini sebagai isu pertindihan dan isu hak asasi yang perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu,” katanya. – The Merdeka Times