Terkini
Tembakan Masjid San Diego: Dua suspek remaja ditemui mati
- Aljazeera melaporkan, Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, dua suspek penembak dalam serangan semalam ditemui mati di Pusat Islam San Diego (ICSD), iaitu yang menempatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah, dipercayai akibat daripada kecederaan tembakan yang dilepaskan oleh mereka sendiri.
- “Disebabkan lokasi pusat Islam ini, kami mempertimbangkan kes ini sebagai jenayah kebencian sehinggalah terbukti sebaliknya,” kata Wahl kepada pemberita.
- Menurutnya, suspek merupakan dua remaja lelaki yang dipercayai berusia 17 dan 19 tahun.
- Pihak berkuasa memaklumkan kesemua tiga mangsa yang terkorban adalah orang dewasa, manakala kanak-kanak di sekolah berkenaan tidak mengalami kecederaan fizikal.
SAN DIEGO – Tiga orang terkorban di sebuah kompleks masjid di bandar San Diego, Amerika Syarikat (AS) dalam satu kejadian tembakan yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa sebagai jenayah kebencian (hate crime).
Aljazeera melaporkan, Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, dua suspek penembak dalam serangan semalam ditemui mati di Pusat Islam San Diego (ICSD), iaitu yang menempatkan sebuah masjid dan sebuah sekolah, dipercayai akibat daripada kecederaan tembakan yang dilepaskan oleh mereka sendiri.
“Disebabkan lokasi pusat Islam ini, kami mempertimbangkan kes ini sebagai jenayah kebencian sehinggalah terbukti sebaliknya,” kata Wahl kepada pemberita.
Menurutnya, suspek merupakan dua remaja lelaki yang dipercayai berusia 17 dan 19 tahun.
Pihak berkuasa memaklumkan kesemua tiga mangsa yang terkorban adalah orang dewasa, manakala kanak-kanak di sekolah berkenaan tidak mengalami kecederaan fizikal.
Wahl berkata, salah seorang mangsa ialah seorang pengawal keselamatan di pusat Islam tersebut, yang memainkan ‘peranan penting’ dalam memastikan insiden itu tidak menjadi jauh lebih buruk.
Beliau berkata, ibu kepada salah seorang suspek telah menghubungi polis dua jam sebelum kejadian tembakan bagi melaporkan bahawa anaknya berniat membunuh diri dan telah hilang bersama beberapa senjata serta kereta miliknya.
Tambahnya, pihak berkuasa sedang meneruskan siasatan untuk ‘memahami dan mencantumkan maklumat tentang apa sebenarnya yang membawa kepada detik tersebut’.
Jabatan Polis San Diego sebelum itu melaporkan insiden penembak aktif di ICSD sebelum mengumumkan bahawa ancaman tersebut telah ‘dineutralkan’.
Taha Hassane, imam masjid berkenaan, menyifatkan ICSD sebagai tempat untuk orang ramai termasuk bukan Islam, berkumpul dan berdoa, belajar serta meraikan sesuatu.
“Ia adalah satu tindakan yang amat melampau untuk mensasarkan tempat ibadat. Pusat Islam kami adalah sebuah tempat ibadat,” kata Hassane.
Datuk Bandar San Diego, Todd Gloria pula berkata, kebencian tidak mempunyai tempat di bandar itu.
“Kepada komuniti Muslim tempatan kami, doa kami bersama anda. Saya mahu memberi jaminan kepada komuniti Muslim kami bahawa kami akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memastikan anda berasa selamat di bandar ini, dan tiada sumber yang akan diketepikan dalam memastikan institusi serta lokasi keagamaan kita dilindungi dalam waktu yang sensitif ini,” katanya.
ICSD terletak di kawasan perumahan di kejiranan Clairemont di San Diego, di utara pusat bandar tersebut.
Pihak berkuasa masih belum mengumumkan identiti suspek-suspek penembak berkenaan.
Insiden berkenaan berlaku di tengah-tengah peningkatan Islamofobia di AS dengan ahli politik dan pengulas berulang kali melancarkan kecaman yang mensasarkan komuniti Muslim.
Ahli Kongres AS, Randy Fine, seorang sekutu Presiden Donald Trump, menyatakan pada akhir tahun lalu bahawa umat Islam harus ‘dimusnahkan’.
Lewat Isnin lalu, Laura Loomer, seorang aktivis sayap kanan yang rapat dengan Trump berkata, ICSD sepatutnya diserbu oleh FBI dan pihak berkuasa imigresen.
Beliau berkongsi satu hantaran media sosial tahun 2023 oleh isteri imam masjid tersebut, yang menuduh Israel membunuh kanak-kanak.
“Masjid yang ‘didakwa’ ditembak hari ini,” tulis Loomer dalam hantaran yang disertakan.
“Ingatlah bahawa orang yang menghadiri masjid ini mahu kita semua dibunuh.”
Trump berkata, beliau telah diberikan taklimat mengenai situasi itu dan menyifatkannya sebagai ‘mengerikan’.
“Saya telah diberikan beberapa perkembangan awal, tetapi kita akan meneliti dan melihat perkara ini dengan sangat tegas,” katanya.
Berpuluh-puluh pegawai di seluruh AS mengutuk kejadian tembakan itu semalam.
“Kami belum mempunyai sebarang butiran mengenai motif lagi, tetapi saya amat sedih untuk pelajar-pelajar, mereka yang beribadat dan komuniti Clairemont tersebut. Setiap orang sepatutnya boleh berdoa, beribadat dan belajar dalam keamanan,” tulis Ahli Kongres AS, Sara
Jacobs, yang mewakili San Diego, di media sosial.
Pejabat Gabenor California, Gavin Newsom menjelaskan bahawa beliau sedang mengikuti perkembangan situasi itu dan menyelaraskan tindakan dengan agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.
Pengarah FBI, Kash Patel berkata, bahagian tempatan agensi itu sedang bertindak balas terhadap insiden berkenaan, dan berjanji bahawa ‘semua sumber akan disediakan bagi membantu rakan kongsi tempatan’.
Polis menyediakan pusat penyatuan semula untuk orang ramai di kawasan tersebut. .
Selepas kejadian tembakan itu, Jabatan Polis New York (NYPD) mengumumkan bahawa mereka meningkatkan perlindungan untuk masjid-masjid di bandar tersebut.
“Walaupun pada masa ini tiada kaitan yang diketahui dengan NYC atau ancaman khusus terhadap rumah ibadat di NYC, atas dasar langkah keselamatan yang tinggi, NYPD meningkatkan penempatan anggota ke masjid-masjid di seluruh bandar,” kata jabatan itu. – The Merdeka Times