Connect with us

Terkini

Eksport pasir Sungai Pahang berisiko rosakkan habitat akuatik – Pakar

Published

on

Foto: Pakar alam sekitar, Prof. Dr. Ahmad Ismail.
  • Bercakap kepada The Merdeka Times, pakar alam sekitar, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, aktiviti tersebut juga dibimbangi akan memberi impak negatif kepada kehidupan penduduk tempatan terutama mereka yang bergantung rezeki kepada sungai.
  • “Terdapat banyak kesan khusus yang boleh diperincikan mengikut kawasan tertentu, terutamanya dari segi perubahan ekosistem dan kestabilan tebing sungai yang boleh menyebabkan hakisan. Aktiviti ini turut merosakkan habitat hidupan sungai yang menjejaskan kepelbagaian biologi akuatik secara amnya, mengurangkan kualiti air sungai, serta memberikan kesan negatif kepada kehidupan penduduk tempatan, terutamanya mereka yang bergantung rezeki kepada sungai,” katanya ketika dihubungi.

KUALA LUMPUR – Aktiviti perlombongan pasir sungai dikhuatiri akan memberi kesan kepada habitat kehidupan sungai yang menjejaskan kepelbagaian biologi akuatik secara amnya selain merosotkan kualiti air.

Bercakap kepada The Merdeka Times, pakar alam sekitar, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, aktiviti tersebut juga dibimbangi akan memberi impak negatif kepada kehidupan penduduk tempatan terutama mereka yang bergantung rezeki kepada sungai.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk melaksanakan kajian komprehensif bagi menilai kesan aktiviti perlombongan pasir sungai secara mendalam sebelum memberikan sebarang kelulusan eksport.

Melalui pelaksanaan kajian, tambahnya, pelbagai perkara penting dapat dikenal pasti melangkaui kesan perlombongan pasir terhadap persekitaran, kepelbagaian biologi dan manusia, termasuk jangkaan kos pemulihan bencana sekiranya berlaku. 

Selain itu, beliau menambah, kajian tersebut juga berupaya mendedahkan kandungan mineral lain yang terdapat dalam pasir yang dieksport, sekali gus memberi petunjuk kepada sumber mineral di kawasan hulu sungai.

“Terdapat banyak kesan khusus yang boleh diperincikan mengikut kawasan tertentu, terutamanya dari segi perubahan ekosistem dan kestabilan tebing sungai yang boleh menyebabkan hakisan. 

“Aktiviti ini turut merosakkan habitat hidupan sungai yang menjejaskan kepelbagaian biologi akuatik secara amnya, mengurangkan kualiti air sungai, serta memberikan kesan negatif kepada kehidupan penduduk tempatan, terutamanya mereka yang bergantung rezeki kepada sungai,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah amat kritikal dalam memastikan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira aspek kelestarian jangka panjang.

“Kita tidak mahu wujud kesan negatif bagi jangka pendek mahupun jangka panjang kepada alam sekitar, manusia dan kepelbagaian biologi secara amnya.

“Keuntungan yang diperoleh daripada eksport pasir seharusnya digunakan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul (akibat aktiviti tersebut),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, penilaian melibatkan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan penilaian impak sosial (SIA) adalah perlu bagi menjamin aktiviti tersebut mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Tegas beliau yang juga Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan mestilah berperanan dalam memberikan khidmat nasihat mengikut peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berharap Kerajaan Pusat memberi pertimbangan sewajarnya berhubung kelulusan eksport pasir sungai di negeri tersebut.

Wan Rosdy menjelaskan, langkah itu penting bagi memastikan sumber hasil negeri dapat diurus secara bertanggungjawab dan lestari serta memberikan pulangan terbaik kepada rakyat.

Berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan di peringkat negeri. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author