Terkini
“Hello! yang paling cemerlang dalam SPM adalah pelajar Tahfiz” – Asyraf Wajdi
- Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan segelintir pihak yang memperlekeh dan mempersoalkan kemampuan pelajar tahfiz untuk ditaja di bawah program Kadet Pilot (Juruterbang Kadet) tajaan agensi itu.
- Asyraf Wajdi mendedahkan seramai 221 pelajar tahfiz daripada MRSM berjaya memperoleh keputusan gred A+ bagi keseluruhan mata pelajaran yang diduduki termasuk subjek-subjek kritikal bagi aliran sains tulen.
- “Ada juga (pihak yang) perlekeh dan persoal keupayaan pelajar Tahfiz untuk MARA biayai program Kadet Pilot. Hello! Yang paling cemerlang dalam keputusan SPM adalah pelajar-pelajar Tahfiz,” katanya menerusi laman sosial Threads.
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membidas tindakan segelintir pihak yang memperlekeh dan mempersoalkan kemampuan pelajar tahfiz untuk ditaja di bawah program Kadet Pilot (Juruterbang Kadet) tajaan agensi itu.
Beliau menegaskan bahawa pandangan serong sedemikian sama sekali tidak berasas, memandangkan golongan pelajar berkenaan telah pun membuktikan kecemerlangan akademik yang luar biasa, khususnya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut beliau, kumpulan pelajar tahfiz merupakan antara individu yang mencatatkan keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan utama tersebut.
“Ada juga (pihak yang) perlekeh dan persoal keupayaan pelajar Tahfiz untuk MARA biayai program Kadet Pilot.
“Hello! Yang paling cemerlang dalam keputusan SPM adalah pelajar-pelajar Tahfiz,” katanya menerusi laman sosial Threads.
Media sebelum ini melaporkan bahawa MARA akan membuka tawaran pembiayaan kepada pelajar baharu yang berminat mengikuti Program Kadet Juruterbang dengan keutamaan diberikan kepada pelajar tahfiz daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Jelasnya, iklan berserta syarat-syarat kelayakan bagi tawaran pembiayaan program itu akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan pelajar baharu yang berminat membuat permohonan.
Mengulas lanjut mengenai rekod pencapaian institusi di bawah agensi itu, Asyraf Wajdi mendedahkan seramai 221 pelajar tahfiz daripada maktab rendah sains MARA (MRSM) berjaya memperoleh keputusan gred A+ bagi keseluruhan mata pelajaran yang diduduki.
Lebih membanggakan, tambahnya, pencapaian gred tertinggi itu turut melibatkan subjek-subjek kritikal bagi aliran sains tulen.
“Malah, 221 pelajar tahfiz MRSM mendapat semua A+ termasuk subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, dan Biologi,” jelas beliau bagi menyangkal dakwaan kononnya latar belakang pendidikan agama mengehadkan potensi pelajar dalam bidang profesional dan teknikal bertaraf tinggi. – The Merdeka Times