Connect with us

Terkini

Amir Hamzah menghadap Sultan Pahang minggu ini perjelas isu peruntukan Persekutuan

Published

on

Foto: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
  • Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan jelas dalam memastikan setiap peruntukan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan dan Perlembagaan Persekutuan.
  • “Saya akan menghadap Sultan Pahang, insya-Allah minggu ini untuk memperjelaskan sedikit dan ini bagi memastikan semua pihak faham apa yang telah kami berikan dan peruntukan yang disediakan.
  • “Saya rasa perkara ini tiada masalah,” katanya.

BALIK PULAU – Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat bagi memperjelaskan isu berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri berkenaan.

Amir Hamzah berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan jelas dalam memastikan setiap peruntukan kepada negeri dibuat berdasarkan keperluan dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan menghadap Sultan Pahang, insya-Allah minggu ini untuk memperjelaskan sedikit dan ini bagi memastikan semua pihak faham apa yang telah kami berikan dan peruntukan yang disediakan.

“Saya rasa perkara ini tiada masalah,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan Kelas Prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan peruntukan kepada negeri dari semasa ke semasa, khususnya melibatkan perbelanjaan pembangunan berdasarkan keutamaan semasa.

Pada 8 Mei lepas, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 bertitah mempersoalkan peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri itu. 

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan meminta Amir Hamzah menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada negeri berkenaan untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author